ZURAIDA beramah mesra dengan waris anggota bomba yang terkorban, semalam.
Noor Atiqah Sulaiman


PUTRAJAYA: “Nak ayah...nak ayah.” Itu ayat pertama disebut Muhamad Meqa Al Asyraf sebaik melihat anggota dan pegawai beruniform bomba.

Muhamad Meqa, setahun 10 bulan ialah anak bongsu kepada Allahyarham Mohd Fatah Hashim, seorang daripada enam anggota bomba yang lemas ketika misi menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong 3 Oktober lalu.

Isteri Mohd Fatah, Noor Nadia Kamaludin, 29, berkata, anak bongsunya itu sering mencari dan menangis kerana tidak lagi melihat bapanya.

Menurutnya, anaknya itu rapat dengan bapanya dan sering dibawa ke balai.

“Di rumah dia lagi menangis nak ayahnya apabila melihat van atau uniform bomba.

“Manakala kakaknya pula selalu mengelak sebaik saja nampak benda berkaitan bomba.

“Selepas kejadian itu, saya dan anak pulang ke rumah di Pelabuhan Klang dan anak pertama, Nur Medina Aisyah, 3, saya tidak tidur. Jam 4 pagi, dia terjaga lalu duduk di tepi katil memanggil ayahnya.

“Saya pujuk dia, kata ayah dah tiada, kakak kena duduk dengan ibu. Itu saja yang saya boleh katakan kepadanya kerana dia masih kecil dan mungkin belum faham apa yang terjadi,” katanya.

Noor Nadia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Ibu Pejabat JBPM di sini, semalam.

Pada majlis itu, Noor Nadia menerima sumbangan RM289,027 iaitu manfaat insurans dan kebajikan jabatan dan persatuan yang pernah disertai suaminya.

Sumbangan itu diserahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Noor Nadia berkata, kematian suaminya itu begitu dirasai, apatah lagi arwah sebelum ini melakukan semua urusan berkaitan rumah dan menguruskan anak kerana menghidap tiroid.

“Kini kami sekeluarga cuba menyesuaikan diri dengan keadaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 7:38 AM