ACRYL Sani (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas daripada sindiket penyeludupan di pantai timur Johor pada sidang media di IPD Mersing.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Sabran Md Sani


KUALA LUMPUR: Melakukan jenayah terancang sejak dua tahun lalu dan mempunyai lebih 30 konco, perisik dan ‘orang bawahan’ di seluruh negara.

Ini antara kegiatan sindiket penyeludupan rokok terbesar di pantai timur Johor membabitkan Geng Zali yang sudah beroperasi sejak 2017 sebelum berjaya dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber berkata, kegiatan itu didalangi seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dibantu tiga orang kanan yang bertanggungjawab mengendali stor, lori dan tonto khusus untuk kegiatan itu.

“Ketua sindiket dikatakan mula berjinak-jinak dengan aktiviti penyeludupan di Tenggaroh, Mersing, Johor selepas bergiat aktif membawa masuk pendatang tanpa izin melalui Pontian sebelum itu.

“Apabila aktiviti penyeludupan di Pontian mula ‘panas’, suspek beralih ke aktiviti penyeludupan rokok dari negara jiran ke Mersing.

“Mereka menggunakan pesisiran pantai di Tenggaroh, Mersing sebagai pusat mendarat. Melalui maklumat orang dalam yang diupah sebagai ‘jaga air’ (pengintip), mereka dapat menjalankan aktiviti mereka dengan mudah,” katanya.

Menurutnya, sindiket dikatakan menggunakan sekurang-kurangnya 30 pekerja bagi mengedar rokok seludup ini ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Kegiatan ini dikatakan menyebabkan kerugian kepada kerajaan berjumlah puluhan juta ringgit hasil cukai tidak dibayar bagi rokok diseludup.

“Selain membawa masuk rokok, sindiket turut menjalankan aktiviti menyeludup masuk pendatang tanpa izin ke negara ini melalui laluan sama,” katanya.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar polis yang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok terbesar itu susulan tangkapan 23 individu dan rampasan rokok seludup berjumlah RM9 juta pada 10 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, tangkapan membabitkan tujuh lelaki tempatan dan 16 lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 46 tahun.

“Sebanyak 19 kereta termasuk kereta mewah, lima lori tiga tan, 1,332 kotak rokok dan wang tunai RM9,645 dirampas dalam beberapa siri serbuan itu.

“Serbuan membabitkan sebuah kilang di Felda Tenggaroh 2, rumah di Taman Johor Jaya dan kilang di Nusajaya,” katanya.

Turut diberkas ketua sindiket Geng Zali yang dipercayai menjadi perancang utama sindiket berkenaan.

Siasatan mendapati sindiket turut mengupah dua anggota penguat kuasa berpangkat korporal berusia 34 dan 35 tahun yang bertugas di Tampoi dan Pengerang sebagai pemberi maklumat kepada sindiket.

Ini bagi membolehkan kapal atau bot yang membawa masuk rokok seludup tidak ditahan pihak berkuasa ketika menghampiri perairan negara.

“Berdasarkan siasatan awal, peranan mereka adalah ‘jaga air’ iaitu bergerak dalam kedudukan paling hadapan semasa sesuatu proses membawa rokok seludup dijalankan sindiket.

“Tujuannya adalah bagi memastikan tiada sebarang sekatan jalan raya oleh polis atau pihak berkuasa di laluan berkenaan dan sekiranya ada, sindiket akan berpatah balik atau bersembunyi di lokasi lain sehingga keadaan selamat,” katanya

Dalam serbuan dilakukan itu, polis turut mengesan jeti haram serta pondok usang yang dijadikan rumah transit bagi kegiatan penyeludupan manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 9:49 AM