MAJLIS lelongan anjuran Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian and Southeast Asian di Galeri Prima, Balai Berita, semalam.
Siti Salmiah A Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 190 lukisan dijual dengan nilai RM3.2 juta dalam masa empat jam pada majlis lelongan anjuran Henry Butcher Art Auctioneers Malaysian and Southeast Asian di Galeri Prima, Balai Berita di sini, semalam.

Pengarahnya, Sim Polenn berkata, walaupun keadaan ekonomi dilihat perlahan, masih ramai pengumpul lukisan tempatan datang untuk membida lukisan yang mereka minati.

“Hampir 80 peratus karya seni terjual hari ini (semalam) dan ia jualan paling tinggi tahun ini dengan jumlah RM5.4 juta berbanding tahun sebelumnya hanya mencapai RM3.3 juta setahun.

“Kami sentiasa mengalu-alukan pembeli dan pengumpul koleksi untuk mendapatkan lukisan yang mereka minati walaupun selepas bidaan selesai,” katanya.

Pada majlis berkenaan, lukisan minyak berjudul Ronggeng karya Datuk Syed Ahmad Syed Jamal menerima bidaan tertinggi dengan harga RM420,000.

Lukisan dihasilkan pada 1957 itu menampilkan ideologi figuratif pelukis berkenaan wanita yang menari tarian tradisional Ronggeng.

Kata Sim, setiap karya seni mempunyai keunikannya tersendiri. Justeru, ia dibida berdasarkan nilai seni berkenaan.

“Ada lukisan dijual pada harga serendah RM1,500.

“Lelongan kali ini turut memaparkan 15 karya seni pelukis Khalil Ibrahim sebagai tanda penghormatan kepada ilham dan kreativiti beliau yang mewarnai dunia seni sejak 1962,” katanya.

Sebelum ini, Henry Butcher yang mengadakan lelongan lukisan di Galeri Prima pada April lalu berjaya meraih keuntungan berjumlah RM2.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:31 AM