KENDERAAN buruk ditinggalkan pemilik yang tidak dapat dikesan.
Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Kawasan berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin di Jalan Jinjang Permai, di sini, dikesan menjadi lokasi pilihan penduduk meletakkan kereta buruk sehingga tersadai dalam tempoh lebih setahun.

Penduduk di kawasan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 50-an berkata, dia pernah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai kereta tersadai di lokasi terbabit.

Katanya, kawasan berkenaan dijadikan tempat meletak kenderaan oleh penduduk PPR itu termasuk kereta rosak yang tersadai beberapa tahun.

“Kawasan ini dekat PPR. Penghuni PPR letak kereta mereka di kawasan ini. Bila kereta rosak, mereka biarkannya tersadai.

“Malah, ada yang dibiarkan beberapa tahun menyebabkan saya membuat aduan kepada DBKL untuk ambil kenderaan itu sebab rimas dengan keadaan kotor,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, kereta buruk yang tersadai menyebabkan kawasan berkenaan kotor dan dipenuhi sampah-sarap.

“Boleh tengok sampah bersepah berhampiran kereta itu sejak lebih setahun diletakkan di sini. Macam-macam sampah ada.

“Kawasan ini banyak tikus kerana ada banyak sampah berhampiran kereta itu,” katanya yang turut melihat beberapa anggota penguat kuasa DBKL menunda Proton Saga yang tersadai di lokasi berkenaan.

Seorang lagi penduduk hanya mahu dikenali sebagai Fong, 70, berkata, dia pernah melihat lelaki meletakkan kereta rosak di tepi jalan berhampiran rumahnya menggunakan kereta tunda sebelum ini.

“Saya rasa lelaki itu penduduk PPR berkenaan yang meletakkan keretanya yang rosak kerana tiada tempat letak kereta di perumahan terbabit.

“Kawasan ini sentiasa ada banyak kereta. Ada kereta bersilih ganti masuk, ada juga kereta sama yang diletakkan dalam tempoh lama sehingga bertahun-tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 8:15 AM