JHO Low.
Mohd Azam Shah Yaacob


KEK untuk puan bos! Itu adalah kod rahsia digunakan ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low bagi merasuah isteri kepada ‘Malaysian Official 1’ (MO1).

Portal berita Wall Street Journal (WSJ) melaporkan, kod itu digunakan oleh Jho Low dalam perbualan dengan bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner menggunakan aplikasi ‘Chat Messenger’ pada 2014.

Ketika itu, Jho Low dan Leissner berbincang bagi mendapatkan satu lagi urusniaga membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kod itu didedahkan oleh pendakwa raya Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang percaya perkataan ‘Madam Boss’ atau Puan Bos itu merujuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam dokumen pendakwaannya membabitkan skandal 1MDB di New York, Amerika Syarikat (AS).

“Beberapa bulan selepas itu, akaun bank yang dikawal Leissner kemudian memindahkan wang berjumlah AS$4.1 juta (RM17 juta) ke akaun milik saudagar emas di New York.

“Wang itu digunakan bagi membayar harga barang kemas bermutu tinggi yang dibeli Rosmah,” katanya.

Dalam dokumen pendakwaan itu juga, disebut bahawa Goldman menaja jamin tiga jualan bon untuk 1MDB menggunakan kod nama Projek Magnolia, Maximus dan Catalyze.

Bagaimanapun, sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.2 bilon) daripada AS$6.5 (RM27.1 bilion) hasil jualan bon itu kemudian dipindahkan kepada beberapa akaun termasuk milik Jho Low dan Leissner.

“Wang daripada akaun berkenaan digunakan bagi merasuah pegawai kerajaan, membiayai dana kecemasan bagi satu tabung dikawal Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan membayar barang kemas milik Rosmah.

“Bagaimanapun, sebanyak AS$200 juta (RM835 juta) dimasukkan ke akaun milik Leissner dan beberapa sekutu yang bersubahat dengannya, manakala ROger Ng pula menerima AS$24 juta (RM100 juta),” katanya.

Semalam, Leissner mengaku bersalah atas dua tuduhan penggubahan wang haram milik 1MDB serta pemberian rasuah terhadap pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi yang melanggar FCPA dengan menipu institusi kewangan itu.

Susulan itu, Leissner diarah mengembalikan wang sebanyak RM180 juta (AS$43.7 juta) kepada kerajaan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:29 PM