SITI Nurhaliza. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin

Selama dua dekad membina nama dan pengaruhnya dalam bidang muzik, pencapaian penghibur tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 39, sememangnya hebat dan memukau.

Hingga kini, beliau yang masih rancak memacu bakat nyanyiannya terus unggul dan siapa sangka sudah 18 album dihasilkan merangkumi beberapa genre muzik.

Tidak pernah menghampakan peminat dalam setiap lagu dirakam dan persembahannya, ibu seorang anak yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini juga sudah kukuh berada dalam liga tersendiri.

Sama ada lagu solo, apatah lagi duet, Siti berjaya membuktikan kemampuan vokal lunaknya untuk menyanyikan lagu bergenre pop, balada, tradisional, hip hop/rap, patriotik dan kerohanian.

Minggu ini sisipan Bling berkongsi senarai 10 nama penyanyi dari negara ini dan Indonesia yang berpeluang merakamkan lagu duet bersama ‘diva’ ternama negara ini.

Noraniza Idris - Hati Kama (1999)

Album Seri Balas yang menggandingkan Siti dan penyanyi Noraniza Idris diterbitkan pada 11 Januari 1999 adalah album duet berkonsepkan tradisional.

Menerusi album ini, vokal Siti dan Noraniza disatukan untuk lagu tradisional, Hati Kama ciptaan Allahyarham Pak Ngah dan lirik ditulis Hairul Anuar Harun.

Lagu Hati Kama juga berjaya menempa kejayaan di pentas Anugerah Juara Lagu 1999 (AJL 1999) apabila dinobatkan juara kategori Irama Malaysia ketika itu.

Apa pun, gandingan duet Siti dan Noraniza secara tidak langsung menjadi bukti kukuh bahawa mereka sama sekali tidak pernah bermusuh.


NORANIZA.

Datuk M Nasir - Bagaikan Sakti (2004)

Komposer ternama, Datuk M Nasir juga pernah merakamkan lagu duet bersama Siti iaitu Bagaikan Sakti pada 2004.

Menerusi lagu hasil ciptaan M Nasir itu, Bagaikan Sakti adalah lagu runut bunyi filem epik, Puteri Gunung Ledang.

Karya unik yang pembikinannya menelan belanja jutaan ringgit itu ditayangkan seluruh pawagam tanah pada 31 Ogos 2004.

Filem Puteri Gunung Ledang juga menggandingkan M Nasir bersama Puan Seri Tiara Jacquelina sebagai teraju utama iaitu Hang Tuah dan Puteri Gunung Ledang.


M NASIR.

Too Phat - Dua Dunia (2005)

Kumpulan duo hip hop terkenal, Too Phat yang dianggotai Joe Flizzow dan Malique pernah berduet dengan Siti untuk lagu Dua Dunia.

Lagu dimuatkan dalam album keempat Too Phat berjudul Rebirth Into Reality itu diterbitkan pada 2005.

Ia sekali gus membuktikan betapa Siti peka dengan perkembangan industri muzik yang mula terarah pada genre hip hop ketika itu.

Kerjasama Siti dan Too Phat yang berduet dalam lagu Dua Dunia itu ternyata diterima baik peminat hiburan tanah air.


TOO Phat.

Opick - Ketika Cinta (2009)

Selain muncul dengan lagu duet tradisional dan hip hop, Siti juga tidak lupa menghasilkan lagu berunsur kerohanian.

Oleh itu, memilih untuk bekerjasama dengan penyanyi lagu kerohanian popular Indonesia, Opick, gandingan mereka tampil dengan lagu Ketika Cinta.

Lagu yang liriknya puitis dan menyentuh jiwa itu dimuatkan Siti dalam album Tahajjud Cinta yang diterbitkan pada 2009.

Bagaimanapun, Opick juga adalah pencipta lagu Dealova nyanyian Once yang menjadi lagu kegemaran Siti.


OPICK.

Krisdayanti - Amarah (2010)

Bukan hanya rapat dengan penyanyi Datuk Seri Rossa, semestinya penghibur terkenal Indonesia iaitu Krisdayanti (KD) juga adalah sahabat baik Siti.

Hubungan persahabatan erat Siti dan Krisdayanti atau mestra disapa KD itu akhirnya menggandingkan mereka duet untuk lagu Amarah.

Lagu Amarah ciptaan Audi Mok dan lirik ditulis oleh Siti dimuatkan dalam album CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka pada 2010.

Album CTKD itu diterbitkan secara usaha sama antara Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) dan KD Record.


KRISDAYANTI.

Hafiz Suip - Muara Hati (2012)

Penyanyi Hafiz Suip yang juga juara Akademi Fantasia 7 (AF7) mendapat peluang merakamkan lagu duet berjudul Muara Hati bersama Siti.

Sekalipun bakat nyanyian Hafiz dicungkil menerusi program realiti TV, namun vokal pendendang lagu Awan Nano itu diakui Siti sangat mantap.

Malah, peluang duet bersama Siti itu juga tidak dipersiakan oleh Hafiz apabila lagu Muara Hati dipilih menjadi lagu tema drama popular, Adam & Hawa pada 2012.

Lagu Muara Hati juga berjaya memenangi dua trofi di Anugerah Planet Muzik 2013 (APM 2013) untuk kategori Duo/Berkumpulan Terbaik dan Lagu Serantau Paling Popular.


HAFIZ Suip.

Cakra Khan - Seluruh Cinta (2014)

Vokal serak basah dimiliki penyanyi Indonesia, Cakra Khan berjaya menarik perhatian Siti untuk berganding sebagai rakan duet.

Menerusi album ke-16 Siti berjudul Fragmen, beliau memuatkan lagu Seluruh Cinta yang dirakamnya secara duet bersama Cakra.

Ia sekali gus menjadikan lagu Seluruh Cinta sebagai single pertama Siti untuk album Fragmen menawan pasaran muzik Indonesia.

Selain itu, kerjasama Siti dan Cakra untuk lagu Seluruh Cinta turut dipilih menjadi lagu runut bunyi filem Suamiku Encik Perfect 10 lakonan Datuk Aaron Aziz bersama Lisa Surihani.


CAKRA Khan.

Faizal Tahir - Dirgahayu (2016)

Komposer dan penyanyi berkaliber, Faizal Tahir juga merakamkan lagu duet berjudul Dirgahayu bersama Siti pada Julai 2016.

Kerjasama itu juga berjaya apabila Dirgahayu dipilih untuk menjadi lagu tema drama Lara Aishah sebanyak 100 episod.

Lagu ciptaan bersama Faizal, Ezra Kong dan Mike Chan itu turut berjaya menarik perhatian pendengar menerusi muzik video dihasilkan.

Video muzik Dirgahayu yang bermula dengan monolog separuh minit antara Siti dan Faizal itu dirakam di stesen kereta api Kuala Lumpur pada 3 Disember 2016 .


FAIZAL.

Judika - Kisah Ku Inginkan (2017)

Selain Cakra Khan, semestinya penyanyi lelaki terkenal dari Indonesia, Judika juga menjadi pilihan Siti untuk berganding sebagai rakan duetnya dalam lagu.

Melalui album ke-18 Siti yang berjudul SimetriSiti, gandingan dua vokal mantap ini tampil dengan genre lagu pop, Kisah Ku Inginkan.

Menariknya juga, lagu Kisah Ku Inginkan berjaya menang trofi kategori Duo/ Kolaborasi Terbaik di APM 2018 pada 29 September lalu.

Bahkan, gandingan duet Siti dan Judika yang membuat persembahan bersama di APM 2018 lalu juga berjaya memukau penonton.


JUDIKA.

Khai Bahar - Cinta Syurga (2018)

Ternyata Khai Bahar boleh dianggap penyanyi ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) yang bertuah kerana dapat berduet dengan Siti.

Bintang SMULE yang popular dengan lagu Bayang dan Luluh itu bekerjasama dengan Siti merakamkan lagu Cinta Syurga.

Bagaimanapun, lagu Cinta Syurga adalah versi baharu single Comel Pipi Merah dalam bentuk zikir dan berkonsep kerohanian.

Sehubungan itu, lagu Cinta Syurga rancak dipromosikan Siti dan Khai pada Ramadan lalu bersesuaian dengan genre muziknya yang ke arah Islamik.


KHAI Bahar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 6:31 AM