MOHAMAD menjual udang geragau yang diperoleh dengan kaedah menyungkur di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri.
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


MELAKA: Sekitar 1980-an harga udang geragau hanya 80 sen sekilogram, namun sekarang ia melonjak kepada RM8 hingga RM10.

Mana tidaknya, udang geragau atau anak udang itu umpama ‘emas’ yang menjadi rebutan nelayan serta industri pembuatan belacan dan cencaluk di negeri ini.

Jika dahulu, udang geragau hanya menjadi rebutan usahawan pembuatan belacan dan cencaluk, kini ia turut menjadi rebutan pelanggan individu berikutan kesukaran mendapatkannya di pasar atau di pantai yang sering dijadikan lokasi menyungkur, iaitu kegiatan menangkap udang geragau menggunakan peralatan ‘sungkur’.

Bagi nelayan, Mohamad Yaakob, 44, udang geragau atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan di negeri ini sebagai ‘gagau’ menjadi sumber pendapatan keduanya selepas hasil tangkapan utama iaitu ikan dan udang.

“Untuk menyungkur, tidak tentu masa. Bergantung kepada waktu bila ada gagau di gigi pantai kerana adakalanya gagau naik waktu malam dan ada pada lewat petang atau Subuh.

“Saya turun menyungkur jam 1 pagi hingga sejurus sebelum azan Subuh dan saya dapat kira-kira 15 kilogram. Alhamdulillah pagi ini (semalam) saya jual dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, sudah hampir habis,” katanya yang ditemui ketika menjual hasil laut itu di Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling di sini, semalam.

Bagi setiap longgokan udang geragau seberat 300 hingga 400 gram, Mohamad meletakkan harga RM5 manakala bagi satu kilogram RM8 hingga RM10, bergantung kepada saiz.

Katanya, udang geragau lazimnya bermain di gigi pantai pada musim angin Monsun Barat Daya yang disebut dalam kalangan nelayan sebagai angin barat, bertiup dari Julai hingga awal Februari.

“Udang geragau lazimnya bermain di gigi pantai ketika arus dasar laut berubah menjadi perlahan dari 12 hingga 18 hari bulan dan dari 27 hingga 4 hari bulan dalam kalendar Islam atau kami sebut sebagai bulan Melayu,” katanya.

Mengenai sungkur katanya, ia diperbuat daripada buluh dengan jaring bersaiz kecil, digunakan dengan cara ditolak oleh nelayan secara berjalan di gigi pantai sama ada mengikut atau melawan arus laut.

“Apabila sungkur ditolak, udang geragau akan masuk melalui pintu jaring dan terperangkap dalam pundi sungkur yang terletak di bahagian hujung,” katanya.

Jika jumlah udang geragau yang berjaya diperangkap dalam sungkur mencapai hingga 100 kilogram, harga akan jatuh hingga RM5 sekilogram dan jika sebaliknya, boleh mencecah hingga RM10 sekilogram.

“Selain digunakan dalam industri pembuatan belacan dan cencaluk, udang geragau juga enak dibuat jemput-jemput,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 8:09 AM