MOHD Fareed menunjukkan bekas jahitan pembedahan pada bahagian badannya FOTO/Saddam Yusoff
Redzuan Muharam
cnews@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: “Selagi bernafas, saya akan terus berusaha mencari rezeki untuk menyara isteri dan anak-anak.

“Meskipun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan saya akan terus berusaha,” demikian azam bekas pemain bola sepak Selangor, Mohd Fareed Shah Hassan, 39, kini menderita akibat masalah usus sejak tiga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu Mohd Fareed, sudah dua kali menjalani pembedahan iaitu pada 2015 dan terbaru September lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Mohd Fareed berkata, masalah usus dialami itu menyebabkan pergerakannya terbatas, sekali gus menghalangnya daripada melakukan kerja berat dan memenatkan.

Namun, demi menyara isteri dan dua anak berusia 10 serta 15 tahun yang masih bersekolah dia tidak mengendahkan rasa sakit dengan menerima tawaran sebagai jurulatih bola sepak.

Kini Mohd Fareed, membimbing pasukan Puncak Suku FC pada setiap Ahad berbekalkan pengalaman serta Sijil Kejurulatihan C dimilikinya.

“Tiga tahun lalu, saya pengsan ketika di rumah dan hasil pemeriksaan doktor mendapati saluran pemakanan bocor berikutan masalah pada usus.

“Akhirnya, saya terpaksa menjalani pembedahan namun memikirkan keperluan isteri dan anak-anak, saya tekad bekerja sebagai pemandu teksi tidak lama selepas itu.

“Namun, pendapatan sebagai pemandu teksi tidak dapat menampung perbelanjaan kami sekeluarga menyebabkan saya berhenti sebelum melakukan beberapa pekerjaan lain antaranya menjadi tukang masak di sebuah restoran di Petaling Jaya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Taman Muhibbah, di sini, kelmarin.

Berkongsi mengenai masalah kesihatan dialami Mohd Fareed berkata, pembedahan pada September lalu bertujuan menampal kebocoran usus iaitu tempat sama ketika pembedahan pertama dilakukan.

Katanya, selepas dibedah hampir sebulan dia ditahan di wad dan berikutan masalah kewangan, Mohd Fareed tidak dapat menjelaskan bil perubatan RM8,335.50 yang tertunggak.

“Jumlah itu belum termasuk tunggakan bil elektrik RM1,246.75 dan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) anak-anak yang masih tertangguh.

“Buat masa ini, saya mengharapkan pendapatan sebagai jurulatih dengan bayaran RM150 bagi setiap sesi latihan.

“Mujur juga saya terima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Baitumal, dapat ringankan beban kewangan kami empat beranak,” katanya yang pernah bersama dengan pasukan The Red Giants pada tahun 1999 hingga 2003.

Orang ramai mahu membantu meringankan beban empat beranak ini boleh menghulurkan sumbangan menerusi menerusi akaun Maybank bernombor 164165039896 atas nama Mohd Fareed Shah Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 8:15 AM