LELAKI ditemui meninggal dunia di dalam kereta dipercayai terhidu gas karbon dioksida dengan keadaan kereta yang disambungkan hos melalui ekzos. FOTO Ihsan Bomba
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


LELAKI ditemui meninggal dunia di dalam kereta oleh orang awam di bahu jalan dekat Jalan Mega 8, Taman Mega Jaya, di Ampang, tengah hari semalam, disyaki akibat terhidu gas karbon monoksida.

Pihak bomba menerima panggilan pada 1.18 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah seramai lapan anggota termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Mohd Nurizawan Basri berkata, ketika ditemui, pihak bomba mendapati terdapat hos yang bersambung dari ekzos dan masuk ke kereta jenis Audi itu.

“Setibanya di lokasi dan membuat pemantauan menyeluruh mendapati, seorang lelaki berusia 44 tahun tidak sedarkan diri dalam kereta. Pihak kami kemudiannya berjaya membuka pintu kenderaan lelaki itu.

“Sebaik berjaya membuka pintu kereta, kami mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, anggota ERMS kemudiannya membuat ujian nadi dan bantuan pernafasan (CPR), namun disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan dari Hospital Ampang.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Berdasarkan keadaan di lokasi, lelaki itu dipercayai lemas atau keracunan gas karbon monoksida daripada asap kenderaan itu sendiri berdasarkan penemuan hos getah yang bersambung dari ekzos ke dalam kereta itu.

“Bagaimanapun, punca kematian akan disiasat polis berdasarkan hasil bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:24 AM