AKSI lelaki durjana yang sempat dirakam mangsa ketika cuba mengintainya.
Suraya Roslan dan Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berjaya merakam imej lelaki yang memecah masuk rumahnya sebelum memuat naik gambar individu terbabit yang hanya berseluar dalam di media sosial, kelmarin.

Menceritakan kejadian itu, mangsa, Nur Faeza Sulaiman, 26, berkata, kejadian berlaku di rumah sewanya di Kampung Padang Jambu, Dungun, Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Saya keluar untuk membeli barang dapur pada jam 11 pagi dan sebaik pulang ke rumah, saya terkejut melihat tangan seorang lelaki berada atas pintu tingkap dapur.

“Kebetulan saya tinggal seorang manakala suami bekerja, tidak tahu apa perlu dilakukan saya terus mengambil telefon untuk ambil gambar lelaki yang juga jiran sebelah rumah yang hanya memakai seluar dalam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nur Faeza berkata, dia tinggal di rumah itu tidak sampai setahun dan difahamkan, itu bukan kali pertama lelaki berusia 40-an terbabit memasuki rumahnya.

“Saya tahu ini bukan kali pertama, ketika saya tiada di rumah pun dia akan masuk juga, cuma saya tiada bukti.

“Betullah firasat saya selama ini, dia memang memasuki rumah saya untuk mengintai dan mencari peluang mencuri,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Saya trauma, semalaman saya tidak tidur kerana terbayang muka dia. Suami terpaksa tidak pergi bekerja kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku ke atas saya.

“Kami ada juga menunggu dia untuk bertanyakan hal berkenaan, namun dia tidak pulang ke rumah langsung,” katanya.

Menurutnya, dia memuat naik gambar suspek di Facebook untuk memohon kerjasama orang ramai yang melihat lelaki terbabit supaya membawanya ke balai polis berhampiran.

“Saya mahu polis mengambil tindakan, kalau ikutkan rasa marah ini saya dan suami boleh ambil tindakan sendiri namun kami percaya pada undang-undang negara.

“Saya tahu ramai juga yang mengecam selepas memuat naik gambar lelaki itu, namun saya yang merasai ketakutan ini dan berharap dia segera ditahan,” katanya yang sedang mencari rumah sewa lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan suspek sedang diburu.

“Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:57 AM