TENGKU Amir Shah. FOTO arkib NSTP
Wartawan NSTP

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak mengiktiraf keputusan Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu yang berlangsung di hotel di Seri Kembangan, malam tadi.

Tengku Amir yang juga Raja Muda Selangor (RMS) menjelaskan pemilihannya sebagai Presiden FAS oleh kumpulan yang menghadiri ‘perjumpaan’ berkenaan juga dilakukan tanpa persetujuan beliau.

Berikutan itu, baginda berkata beberapa memo sudah diedarkan Sekretariat Agung FAS yang mempertikaikan kesahihan ‘perjumpaan’ berkenaan.

"Beta sekali lagi ingin menekankan ‘perjumpaan’ berkenaan tidak sah, tidak mengikut prosedur yang betul dan tidak diiktiraf oleh beta dan juga persatuan.

"FAS sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM) dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak isu ini timbul dan turut menyerahkan segala maklumat serta bukti mengapa ‘perjumpaan’ tidak sah ini.

"Pendirian beta mengenai kesahihan ‘perjumpaan’ itu adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi Artikel 30 yang termaktub dalam Statut FAS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kongres yang berlangsung malam tadi menyaksikan semua jawatan termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan 13 Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAS bagi penggal 2017-2021 menang tanpa bertanding.

Selain Tengku Amir kekal Presiden FAS, kongres itu juga menyaksikan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dipilih Timbalan Presiden FAS yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Selain itu, Tengku Amir turut mendakwa kumpulan yang mengadakan kongres berkenaan gagal memberi sebarang bukti kepada PSM dan FAM bagi menunjukkan mereka mempunyai korum mencukupi untuk mengadakan kongres.

"Justeru, beta menolak dan tidak mengiktiraf sebarang keputusan yang dibuat pada perjumpaan itu, termasuk ahli jawatankuasa FAS yang baharu dilantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 12:39 PM