Rita bersama anaknya Airit Qaha (kiri) dan Airit Rayyan (kanan). FOTO ROSELA ISMAIL
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON popular Rita Rudaini ingin merealisasikan impian dua anaknya menonton perlawanan bola sepak membabitkan bapa mereka yang juga bekas suaminya pemain bola sepak skuad kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Rita berkata, bersempena dengan Piala AFF Suzuki 2018 sedang berlangsung, dia berharap Aidil dapat menghadiahkan tiket menonton perlawanan skuad Harimau Malaya.

"Bukan tidak boleh beli sendiri, tapi lebih manis sekiranya Aidil dapat menghadiahkan tiket serta jersi skuad Harimau Malaya kepada anak-anak.

"Saya nak bagi anak-anak rasa dihargai apabila tiket terbabit diberikan oleh bapa mereka sendiri. Saya rasa ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi.

"Lagipun anak-anak ada buka mulut nak tengok bapanya beraksi, jadi saya nak realisasikan impian mereka. Saya nak anak-anak bangga dan mengagumi bapanya sendiri berbanding mengidolakan pemain-pemain antarabangsa," katanya.

Menurut Rita, dia juga ingin menegaskan tidak pernah menghalang bekas suaminya itu bertemu anak apatah lagi memisahkan mereka.

"Ramai pihak mempertikaikan yang saya menghalang Aidil daripada berjumpa anak-anak.

"Jadi saya nak buktikan kepada semua orang yang bermulut jahat yang kami tiada masalah dan saya tidak bergaduh dengan Aidil.

"Melihat keterujaan anak-anak yang meminati sukan bola sepak dengan begitu mendalam, saya nak bawa anak-anak melihat bapanya beraksi secara langsung," katanya.

Rita berkahwin dengan Aidi Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 5 September 2013.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin,9, dan Airit Qaha Arjuna, 7, yang kini bawah jagaan Rita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 3:50 PM