PENYANYI, Neera Azizi. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


NAMANYA pernah terpalit dengan kontroversi kerana bersuara ‘sumbang’ dalam program Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 tidak lama dulu.

Namun, Neera Azizi, 20, yang turut mencipta nama sebagai pelakon dalam drama Miss Kapten Cikgu Waiz dan Sayangku Kapten Mukhriz tidak cepat melatah, sebaliknya menganggap gosip dan kontroversi adalah asam garam dalam bidang seni tanah air.

“Saya menceburi bidang nyanyian kerana mahu mengembangkan lagi cabang seni sedia ada. Pada masa sama, ia juga menjadi trend pelakon bergelar penyanyi ketika ini.

“Apa yang berlaku dalam program televisyen itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan ia pengajaran berguna untuk saya,” katanya.

Menurut Neera, dia juga sudah bersedia dengan apa saja kecaman orang selepas memutuskan untuk menceburi bidang seni, tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, ada orang cakap wajah saya seperti Nur Sajat dan pernah digelar artis suam-suam kuku. Namun, saya tetap bangga dengan wajah asli dimiliki dan pencapaian dalam bidang seni juga konsisten ketika ini.

“Bukan saja artis baru, artis popular pun turut berdepan kecaman netizen. Saya juga lebih suka melihat dari sudut positif kerana apa penting saya tahu apa yang dilakukan,” katanya.

Neera berkata, dia tidak pernah patah semangat untuk meneruskan karier nyanyian dengan mempertaruhkan single pertamanya berjudul Rasa Hati buat peminat.

“Buat masa ini, saya sibuk mempromosikan single ciptaan komposer baru B-Heart yang berkisar rasa cinta kepada kekasih itu. Pada masa sama, saya juga mengikuti kelas vokal untuk memantapkan vokal sedia ada. Jika single ini berjaya, saya merancang muncul dengan single kedua pula nanti,” katanya.

Idam cerita lasak dan aksi

Selepas drama Miss Kapten Cikgu Waiz dan Sayangku Kapten Mukhriz, Neera terus tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon ketika ini.

Menurut Neera, dia selesa dengan pencapaiannya dalam dunia lakonan sejak berkecimpung dalam bidang seni, tiga tahun lalu.

“Sebenarnya, saya bercita-cita menjadi juruterbang sejak zaman persekolahan tetapi akhirnya bergelar artis pula.

“Buat masa ini, tawaran berlakon tidak pernah putus dan saya ketepikan dulu cita-cita mahu menjadi juruterbang itu,” katanya.

Ditanya watak diidamkan pula, kata Neera, dia mahu melakonkan watak dalam cerita aksi dan lasak sekali gus mencabar kemampuannya dalam lakonan.

“Saya sudah melakonkan watak utama dalam drama dan kini kerap ditawarkan watak antagonis dalam drama. Terbaru, saya ditawarkan watak antagonis untuk Slot Akasia TV3.

“Lebih mencabar apabila ditawarkan watak lebih berusia seperti wanita yang sudah berkahwin sedangkan saya baru berusia 20 tahun.

“Saya turut mengambil kelas lakonan dengan guru lakonan dan pelakon hebat Fauziah Nawi untuk memantapkan prestasi lakonan sedia ada,” katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Patahnya Sebelah Sayap, Ainur Mardhiah, Suri Hati Mr Pilot.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 6:00 AM