AARON tak rancang untuk bersara.
Ramlah Zainal


LAKONAN sudah jadi sebahagian daripada hidupnya selepas hampir dua tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Oleh kerana itu, Datuk Aaron Aziz, 42, tiada perancangan untuk bersara ketika ini.

“Saya meminati bidang lakonan sejak dulu lagi dan ia tidak dapat dipisahkan.

“Cuma, kini saya lebih memilih kerana mementingkan kualiti dan kepuasan dalam lakonan.

“Apa pun, saya tidak kisah sama ada watak ditawarkan itu utama atau sekadar pembantu kerana yang penting ada kelainan dalam lakonan,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Aaron turut gembira melihat perkembangan positif industri perfileman tanah air ketika ini.

“Alhamdulillah, industri filem kita sudah naik semula. Contohnya, filem Paskal yang mendapat sambutan hangat di pawagam.

“Walaupun tidak berlakon dalam filem ini, saya gembira membaca komen penonton. Kalau ada rezeki, saya berharap ditawarkan projek filem sedemikian,” katanya.

Perkembangan lain, Aaron baru selesai penggambaran drama bersiri Jodoh Jodoh Anissa terbitan Global Station dan drama Meet The MP musim kedua di Singapura.

Pertaruh filem Operasi X

Setelah sekian lama, Aaron kembali dengan filem aksi Operasi X yang menjengah pawagam tanah air sejak 1 November lalu.

Dalam filem arahan Sandosh Kesavan itu, Aaron berganding dengan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Datuk Yusof Haslam, Nasir Bilal Khan, Amerul Affendi, Hairul Azreen, Nashra dan ramai lagi.

“Saya melakonkan watak pegawai polis, ASP Redzuan. Saya terima tawaran ini kerana mahu bekerjasama dengan barisan pelakon hebat dan berpengalaman seperti Awie, Datuk Yusof dan Nasir.

“Selain itu, naskhah itu ada kelainan daripada karya yang pernah saya jayakan sebelum ini. Walaupun ia cerita aksi, babak saya kurang aksi berbanding watak lain dalam cerita ini,” katanya.

Ditanya harapannya terhadap filem itu, Aaron hanya menyerahkan kepada penilaian penonton.

“Saya sudah berusaha buat yang terbaik untuk filem ini. Namun, ia juga bergantung kepada pengarah untuk memberikan sentuhan berbeza terhadap filem ini,” katanya.

Filem bercorak kepolisan itu mengisahkan ASP Redzuan yang sudah hilang kepercayaan terhadap pegawai polis lain selepas kehilangan rakan baiknya yang dipercayai dibunuh pihak berkuasa.

Dia menghilangkan diri dan tinggal di pulau terpencil. Namun, pegawai atasannya Datuk Mokhtar dan Tuan Anwar dari Bukit Aman, dapat menjejakinya serta meminta dia mengetuai satu operasi khas diberi nama Operasi X untuk menumpaskan Geng Belut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 6:00 AM