DATUK Yusof Haslam dan Syamsul Yusof bersama peguam mereka. FOTO Ihsan Datuk Yusof Haslam
Ramlah Zainal


“Saya berharap lebih ramai individu yang melakukan jenayah ini dibawa ke muka pengadilan. Kami mengambil tindakan ini bukan hanya untuk syarikat produksi sendiri, tetapi mewakili industri perfileman tanah air," kata pengarah Syamsul Yusof mengenai kemenangan Skop Productions Sdn Bhd membabitkan tuntutan saman ke atas individu yang memuat naik dan menyebar filem Munafik 2 arahannya di media sosial, hari ini.

Syamsul yang juga pengarah dan pelakon utama Munafik 2 berkata, dia berharap kemenangan itu akan membuka mata banyak pihak dan menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Ramai yang tidak tahu tindakan memuat naik filem tanpa keizinan adalah kesalahan jenayah dan pihak kami bertindak juga hanya mengikut saluran undang-undang,” katanya.

Mahkamah Tinggi Taiping hari ini memerintahkan defendan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah membayar sebanyak RM100,000 kepada Skop Productions.

Defendan juga dihalang melanggar hak cipta plaintif-plaintif untuk filem Munafik 2, memuat naik dan mana-mana bahagian daripada filem berkenaan dalam apa-apa bentuk dalam media sosial dan platform lain, tanpa keizinan plaintif-plaintif.

Syamsul berkata, ia juga adalah kes pertama dalam sejarah industri perfileman tempatan apabila Skop Productions mengheret individu tidak bertanggungjawab memuat naik filem tanpa kebenaran ke mahkamah.

Syamsul turut berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) membuka mata untuk mengetengahkan isu ini kepada pihak berkuasa.

“Finas perlu melakukan sesuatu membabitkan isu cetak rompak filem tempatan yang tiada penghujungnya. Pihak berkuasa perlu lebih tegas kerana undang-undang sedia ada juga longgar untuk membanteras jenayah cetak rompak ini,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam dan Syamsul mengambil tindakan mahkamah terhadap individu yang melanggar hak cipta filem dengan memuatnaik di laman media sosial Facebook dan Instagram menerusi akaun profil Sasuke Kun dan @muhammad_izwan_shah.

Filem Munafik 2 kemudiannya tersebar luas dan dikongsi di beberapa laman media sosial untuk tontonan umum.

Sebelum itu, satu laporan polis berkaitan itu sudah dibuat di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur pada 20 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 6:06 PM