SEKURANG-kurangnya 42 orang maut dalam bencana dianggap terburuk melanda California itu. - Daily Mail
SEKURANG-kurangnya 42 orang maut dalam bencana dianggap terburuk melanda California itu. - Daily Mail
Agensi

CALIFORNIA: Seorang lelaki dikutuk selepas mengongsikan visual mayat rentung rakannya yang mati dibakar hidup-hidup ketika cuba melarikan diri daripada kebakaran hutan California yang sehingga semalam direkodkan meragut 42 nyawa, menjadikannya yang terburuk dalam sejarah negeri itu.

Greg Woodcox, 58, dari Paradise, California, satu-satunya orang yang terselamat dalam kumpulannya yang cuba melarikan diri ketika kebakaran Camp yang melanda pekan berkenaan, Khamis lalu.

Woodcox memberitahu portal berita SF Gate, dia membawa anjingnya berjalan pada pagi kejadian dan melihat api semakin marak ke arah pekan berkenaan menyebabkannya terus memandu keretanya untuk memberi amaran kepada orang ramai.

Menurutnya, dia pergi ke rumah anak lelakinya, bekas isteri dan rakannya yang kurang upaya yang tinggal bersama ibu untuk memberi amaran mengenai kebakaran berkenaan, lapor Daily Mail.

“Saya menjerit supaya mereka keluar dari situ, malah mengheret seorang daripadanya ke dalam kereta,” katanya.

Mereka semua memandu kereta masing-masing untuk keluar dari pekan itu, namun satu kereta tersangkut atas jalan menyebabkan kesesakan di belakangnya selepas Woodcox melepasi kawasan itu. Woodcox hanya menyedari perkara itu selepas jauh dari situ.

Menurutnya, dia berjaya melarikan diri selepas mengekor seekor rubah yang berlari ke arah anak sungai di dalam gaung.

“Saya berendam dalam anak sungai itu selama 45 minit. Air begitu panas ketika itu.

“Selepas itu, saya kembali ke kereta saya yang separuh terbakar dengan dua anjing saya yang masih hidup di tempat duduk belakang,” katanya.

WOODCOX bersama dua anjingnya terselamat dalam kejadian itu. - Daily Mail
WOODCOX bersama dua anjingnya terselamat dalam kejadian itu. - Daily Mail

Malangnya, kereta yang terperangkap semuanya kira-kira 36 meter di belakangnya dengan mayat rentung kawannya di dalam, dipercayai mangsa pertama kebakaran berkenaan.

Woodcox kemudian menggunakan telefon bimbitnya untuk merakam kesan kebakaran berkenaan, termasuk mayat yang rentung sepenuhnya.

Video berkenaan dimuat naik anak saudaranya Matthew Strausbaugh ke YouTube keesokannya dan Woodcox yang menahan sebak didengar menceritakan betapa ajaibnya dia dan anjingnya masih hidup selain kesedihannya atas kematian ngeri rakannya.

Rakaman Woodcox bergerak dari kereta ke kereta dan jelas kelihatan rangka rentung manusia di dalam kenderaan yang musnah berkenaan.

Mangsa kebakaran yang terselamat dilaporkan berang video itu dikongsikan umum.

Penduduk Paradise, Tamara Houston berkata: “Perbuatannya langsung tidak peka dengan perasaan orang. Buat apa tayangkan sisa mayat dalam tragedi seperti itu?”

Bagaimanapun, ada juga yang menyokong tindakannya kerana menganggap dapat dijadikan pengajaran untuk orang ramai.

Pengguna YouTube, Hyder Bos-Jabbar berkata: “Saya mempunyai pengalaman 14 tahun memadamkan kebakaran hutan dan memang orang awam perlu mengetahui, ini realitinya.”

Walaupun ribuan orang menekan butang ‘like’ untuk video berkenaan, ratusan yang lain memberikan undian sebaliknya menyebabkan YouTube memberi amaran pada awalnya bahawa ia mungkin dianggap tidak sesuai atau menjijikkan.

Seramai 228 orang masih hilang dan pihak berkuasa bimbang jumlah kematian akan meningkat. Presiden Donald Trump turut mengisytiharkan bencana di California untuk mempercepatkan bantuan kecemasan ke negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:39 AM