SITI Aisah ditempatkan di ICU hospital di Osaka.
Redzuan Muharam

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang gadis, Siti Aisah Sabar, 27, untuk bercuti dan bertemu kakaknya di Jepun bertukar menjadi episod duka selepas dia dimasukkan ke hospital sejak 24 Oktober lalu akibat jangkitan kuman di jantung dan paru-paru.

Lebih menyedihkan Siti Aisah yang berasal dari Klang, Selangor tidak dapat melihat jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat komplikasi hati pada 1 November lalu kerana sehingga kini masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Rinku General Medical Center, Osaka.

Kakaknya, Siti Rozita Sabar, 31, berkata, adiknya ke Jepun untuk bercuti dan menziarahinya yang bekerja di Osaka sejak hampir dua tahun lalu.

Katanya, Siti Aisah tiba di Osaka pada 13 Oktober lalu dan tinggal bersamanya sebelum meneruskan percutian ke Tokyo tiga hari kemudian dengan menaiki bas.

Menurutnya, pada 20 Oktober lalu, dia menerima kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada Siti Aisah yang mengadu tidak sihat kerana demam.

“Memandangkan adik bersendirian, saya minta dia pulang ke Osaka kerana bimbang dengan keadaannya dan ikut jadual, dia sepatutnya bertolak dari Tokyo menaiki bas pada 22 Oktober lalu.

“Namun badannya semakin lemah hingga tidak larat untuk bangun dan saya dapat tahu mengenainya selepas dihubungi pengurusan rumah tamu tempat dia menginap yang meminta saya datang segera ke Tokyo bagi menguruskannya.

“Sebaik tiba di situ, saya dapati keadaannya tidak terurus dan bergegas membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Siti Rozita berkata, pemeriksaan dilakukan doktor gagal mengenal pasti penyakit sebenar adiknya menyebabkan dia mengambil keputusan membawa Siti Aisah pulang ke Osaka bagi mendapatkan rawatan pada keesokan harinya.


SITI Aisah (kiri) bersama Siti Rozita ketika di Jepun.

“Sebaik tiba di Osaka, saya menghubungi ambulans untuk menghantar adik ke hospital dan hasil pemeriksaan mendapati lehernya bengkak berpunca daripada jangkitan yang merebak ke paru-paru dan jantung.

“Akibatnya saluran pernafasannya tersekat menyebabkan pembedahan dilakukan dan ia mengambil masa tujuh jam kerana doktor menemui nanah pada bahagian jantungnya.

“Selepas pembedahan selesai, adik ditempatkan di ICU dan beberapa hari kemudian, saya mendapat panggilan daripada keluarga memaklumkan ibu, Ermawati Limin dalam keadaan kritikal.

“Namun setibanya saya di Malaysia, ibu meninggal dunia,” katanya yang juga anak ketiga daripada lima beradik.

Menurutnya, selepas urusan pengebumian ibunya selesai, dia kembali ke Osaka namun keadaan Siti Aisah masih sama menyebabkan dia merahsiakan berita pemergian ibunya daripada pengetahuan adiknya.

Katanya, doktor juga tidak membenarkan Siti Aisah dibawa pulang ke Malaysia kerana keadaan kesihatannya belum stabil walaupun sudah sedar.

“Menurut doktor, adik saya kemungkinan ditahan di ICU untuk sebulan lagi bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan susulan.

“Sehingga 7 November lalu, kos perubatan di hospital ditanggung sepenuhnya pihak insurans, namun ia mencapai had, jadi saya perlu mencari RM500,000 bagi menampung kos selebihnya.

“Buat masa ini, saya memohon bantuan zakat daripada Selangor dengan bantuan Kedutaan Malaysia di Jepun selain bergantung kepada wang simpanan yang ada serta sumbangan RM60,000 diterima daripada rakyat Malaysia sejak kisah adik saya tular di laman sosial,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melakukannya di akaun bank Siti Rozita di Maybank (361145532223) atau CIMB (7007664003).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 7:47 AM