(dari kiri) Misha, Noryn dan Sarah pada sidang media 'Soul Sisters 2019' di Pavillion Kuala Lumpur. FOTO/MAHZIR MAT ISA
Sudirman Mohd Tahir


TIGA nama, satu suara membentuk jenama Soul Sisters yang dianggap gabungan mega membabitkan persembahan konsert berskala besar.

Pemilihan Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah adalah tepat dalam membawa satu persembahan yang ditunggu-tunggu di pentas berprestij Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ia sekali gus meletakkan nama mereka di tahap tertinggi apatah lagi ini gabungan pertama mereka sepanjang pembabitan dalam bidang muzik tanah air.

Walaupun Noryn terlebih dahulu menempa nama sebagai penyanyi, kualiti dan kredibiliti dimiliki Misha dan Siti Sarah menambahkan magis kepada gabungan mereka.

Apa yang pasti, Konsert Soul Sisters yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 April tahun depan itu memperlihatkan sisi berbeza tiga penyanyi wanita ini.

Menurut Siti Sarah, 34, tidak ada istilah siapa menyanyi lebih hebat atau lebih tepat ‘perang vokal’, tetapi konsert itu bakal memberikan cabaran baru buat mereka terutama dalam mencari keserasian dari segi suara.

“Tiada perang vokal sebaliknya kena ada kombinasi supaya wujud keseimbangan terutama ketika segmen berduet.

“Pada masa sama, kami perlu bekerjasama kerana konsert ini peluang untuk membuka mata masyarakat untuk menilai bakat kami,” katanya.

Sarah yang sudah 17 tahun berada dalam industri muzik mengakui terkejut dan hilang kata-kata apabila ditawarkan oleh Edd Razhe Entertainment untuk menyertai konsert berprestij itu.

“Saya menganggap ini satu peluang keemasan dan tak mungkin menolaknya. Pada masa sama, saya anggap ini rezeki selepas kembali aktif sebagai penyanyi.

“Saya hilang kata-kata dan terkedu apabila ditawarkan menyertai konsert ini. Apabila menyanyi semula dengan pelbagai cabaran dan banyak benda terjadi, saya anggap ini ruang untuk buktikan kemampuan sebenar,” katanya.


TERUJA bakal sertai konsert berprestij itu.

Misha dan Noryn menangis

Misha Omar, 36, atau nama sebenarnya Samiha @ Aisah Omar tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja hingga menitiskan air mata ketika ditawarkan terbabit dalam konsert itu.

Misha berkata, tawaran itu ibarat mimpi jadi kenyataan apabila dapat berkongsi pentas bersama dua penyanyi hebat.

“Apabila ditawarkan untuk sertai konsert berprestij ini, saya terus sebak. Tambahan pula selepas dengar nama Noryn dan Sarah, saya terus mengalirkan air mata.

“Terus terang ia amat mengujakan apatah lagi saya dan Sarah bermula dalam industri muzik pada waktu yang sama tetapi kedua-duanya membawa haluan masing-masing.

“Jadi, apabila kami disatukan dalam konsert ini bersama Noryn, saya amat bersyukur dan gembira,” katanya.

Bagi Noryn, 42, atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd Aziz, pengalaman menyanyi selama 22 tahun akan digunakan sebaik-baiknya dalam menampilkan persembahan bertenaga.

Malah, gabungan bersama Misha dan Sarah juga dianggap pelengkap kepada konsert itu sesuai dengan judul yang diberikan.

“Saya pun menangis seperti Misha ketika diberitahu mengenai konsert ini. Saya tidak menjangka sama sekali pertemuan pertama kami beberapa bulan lalu membawa kepada perkhabaran gembira ini.

“Saya tak pernah terlintas pun mengenai perkara ini. Apatah lagi, saya baru nak bina nama dan kerjaya semula selepas sekian lama senyap. Kiranya, apa yang datang ini adalah rezeki dan saya anggap peluang terbaik untuk menonjolkan bakat sebenar.

“Apabila ada Misha dan Sarah, saya berasakan konsert ini bakal menjadi satu persembahan yang luar biasa. Malah, belum pernah lagi sepanjang kerjaya saya bergabung sepentas dengan mana-mana penyanyi wanita bagi menjayakan konsert,” katanya.

Mengenai konsert itu, setiap penyanyi akan mempersembahkan empat lagu solo masing-masing dan lapan lagu secara medley.

Istimewanya, satu single baru nyanyian mereka bertiga berjudul Bersatu Suara akan turut diperdengarkan pada hari konsert itu nanti.

Apa yang menarik mengenai konsert itu juga adalah penganjur iaitu Edd Razhe mampu ‘memujuk’ nama besar industri muzik tempatan untuk menyumbang dalam penganjuran konsert itu.

Mereka termasuk bekas Penerbit Eksekutif Warner Music Malaysia Datuk Nasser Abu Kassim sebagai pengarah muzik, selain juruvokal dan pensyarah muzik Datuk Syafinaz Selamat.

Tiket boleh didapati melalui www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond) , RM355 (Platinum) , RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 6:01 AM