PERBANDINGAN cukai setem rokok tulen (kanan) dan cukai setem palsu (tengah dan kiri).
CUKAI setem rokok tulen (kanan) dan cukai setem palsu (tengah dan kiri).
Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Beli setem cukai rokok original dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam kuantiti kecil sebelum mengulang cetak jutaan keping setem palsu.

Setem palsu itu kemudian dilekatkan pada setiap kotak rokok sebelum dipasarkan bertujuan menunjukkan seolah-olah rokok berkenaan sudah membayar cukai biarpun dijual di bawah harga minimum iaitu RM10.

Itu kaedah digunakan beberapa pengimport berlesen dan pengedar rokok jenama tempatan yang mempunyai rangkaian di seluruh negara bertujuan meyakinkan hampir 70,000 peruncit di seluruh negara bagi menjual produk mereka.

Berdasarkan rekod, sebelum pengenalan setem rokok itu pada 2016 hampir tidak wujud atau berlaku pemalsuan sebarang ciri keselamatan pada kotak rokok.

Namun, selepas pengenalan setem cukai rokok pada 2016 dan hingga kini, banyak berlaku pemalsuan setem rokok membabitkan satu bilion batang rokok dianggarkan nilai dan cukai eksais sebanyak RM440 juta.

Daripada jumlah itu, pengeluar rokok jenama tempatan dikesan paling banyak membuat pemalsuan setem iaitu 87 peratus, manakala beberapa syarikat yang diberi lesen pengimport pula membabitkan 13 peratus.

Setem ini dikeluarkan sebuah syarikat tempatan iaitu Lembah Sari Sdn Bhd dan ia diberi kebenaran oleh kerajaan.

JKDM sepatutnya dapat mengesan pemalsuan ini berdasarkan jumlah setem cukai yang dibeli pengimport dan pengedar rokok jenama tempatan.

Adalah tidak logik dan tidak masuk akal jika sesebuah syarikat berkenaan hanya membeli 1,000 atau 10,000 setem cukai untuk tempoh tertentu misalnya sebulan sedangkan jualan rokok keluaran atau diimport syarikat berkaitan lebih daripada jumlah itu.

Sudah pasti JKDM boleh mengesyaki berlaku pemalsuan setem cukai dan membuat pemeriksaan mengejut di premis syarikat berkaitan.

Mendedahkan perkara itu, sumber memberitahu pengeluar rokok jenama tempatan dan pengimport sah ini akan membeli setem cukai rokok yang tertera Cukai Sudah Dibayar dalam kuantiti kecil.

“Satu roll (gulung) ada 500 setem berharga antara RM8 hingga RM9 sekeping mengikut perasa (flavour) rokok itu. Daripada setem asli itu, mereka akan mencetak semula setem palsu untuk dilekatkan pada kotak rokok,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) Jarren Tam ketika melancarkan kajian mengenai jual beli rokok seludup di Malaysia berkata, terdapat dua syarikat memiliki setem cukai sah dikeluarkan JKDM.

Antaranya, Global Tobacco Manufacturers (International) Sdn Bhd (GTM) yang didapati mempunyai rantaian pengedaran bekalan secara tidak jelas.

“Meskipun syarikat ini memiliki jenama yang sudah didaftarkan, tetapi kajian mendapati jenama yang dijual itu bukan pada harga yang ditetapkan kerajaan.

“Dalam senario ini sekiranya syarikat membayar duti eksais mengikut setem cukai, sepatutnya produk dijual sekurang-kurangnya RM8 mengikut harga setem cukai.

“GTM pernah didakwa di mahkamah majistret atas tiga tuduhan mengelak cukai RM950,000 pada 2012. Tidak dapat dipastikan bagaimana GTM mampu memiliki setem cukai sah namun mengedarkan kepada peruncit di bawah harga minimum,” katanya dalam Perbincangan Meja Bulat Mengenai Penyelidikan Perniagaan Rokok Seludup di Malaysia yang diadakan di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Untuk mendapatkan kepastian dakwaan CPPS itu, wartawan sudah menghubungi pengurusan kanan GTM, namun sehingga kini e-mel yang dihantar masih belum dijawab.

Baru-baru ini dalam sesi Belanjawan 2019, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berikrar membanteras aktiviti penyeludup rokok seludup secara habis-habisan dengan menyasarkan kutipan semula cukai sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Bagi Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subramaniom mencadangkan pindaan dilakukan ke atas Akta Kastam 1967 bagi membolehkan penyeludup dikenakan penalti hukuman lebih berat iaitu denda minimum RM100,000 dan sebatan.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar pula mahu kegiatan kartel rokok ini ditangani secara bersungguh-sungguh seperti memerangi dadah kerana jika dibiarkan, kartel yang turut terbabit dengan jenayah keganasan ini mampu mengugat kestabilan dan keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:01 AM