Raja Noraina Raja Rahim


MAHKAMAH Tinggi Seremban, hari ini memutuskan kemenangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, batal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar, yang turut memutuskan Pilihan Raya Kecil (PKR) bagi DUN Rantau yang dimenangi Mohamad tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, perlu diadakan serta-merta.

Azimah membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen, Dr S Streram dan peguam responden (Mohamad) yang berlangsung selama 12 hari membabitkan 19 saksi perbicaraan.

Beliau dalam penghakiman selama lebih satu jam berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kepada dua perkara utama.

“Tidak wujud sebarang undang-undang dan peraturan pilihan raya yang menyatakan ‘tag’ nama atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk masuk ke dalam dewan penamaan calon bagi mengemukakan borang penamaan.

“Ini diakui oleh peguam responden kedua dan ketiga dalam hujahan bertulis.

“Malah, buku kerja pilihan raya mengesahkan ‘tag’ nama atau pas masuk bukan keperluan mandatori perlu dipatuhi, malah mana-mana calon boleh ‘walk in’ (masuk) sahaja ke dewan penamaan calon,” katanya.

Berikutan itu, mahkamah mengisytiharkan kemenangan Mohamad yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau adalah tidak sah dan batal.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala pasukan empat anggota Dr Streram diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 12:19 PM
MOHAMAD bersama penyokong (gambar kanan) dan Streram dan penyokong (gambar kiri) di Mahkamah Tinggi Seremban, hari ini. Foto HAZREEN MOHAMAD dan IQMAL HAQIM ROSMAN.