DR Abdul Rahman. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Pengguguran janin dengan apa cara sekalipun adalah haram dan hukumnya berdosa besar.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman bagaimanapun berkata, perkara itu boleh dilakukan atas nasihat doktor dan jika tidak digugurkan, kesihatan atau nyawa ibu itu terancam.

Beliau berkata, mengikut sudut perspektif Islam apa saja membabitkan pembunuhan makhluk Allah adalah dilarang kecuali bersebab.

“Jika keadaan anak diramal pakar perubatan contohnya apabila lahir akan mengalami kecacatan dan peluang hidup tipis, itu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk digugurkan.

“Allah yang tentukan semuanya manakala doktor cuma manusia biasa belum tentu ramalan mereka tepat.

“Apa yang penting lahirkan dulu bayi itu selebihnya ikhtiar apa yang boleh untuk kelangsungan hidup bayi itu,” katanya.

Menurutnya, pandangan ulama berdasarkan al-Quran dan hadis jelas mengatakan hal ini.

“Hadis Rasulullah SAW menyebut: Apabila ditiupkan roh, dia adalah makhluk Allah yang harus dijaga. Jadi jelas di sini, menggugurkan kandungan seolah-olah membunuh satu nyawa.

“Bertaubat dan beristighfar, selain melakukan amal kebajikan dan perlu membayar kafarah puasa dua bulan berturut-turut,” katanya.

Katanya, kebanyakan kes pengguguran janin akibat perbuatan zina kerana mahu menutup kesalahan itu.

“Perbuatan zina itu sudah berdosa, janganlah ditambah lagi dengan dua kali ganda dosa apabila anak dalam kandungan digugurkan pula.

“Jadi, jika tidak mahu berlaku zalim terhadap makhluk Allah jangan kita buat perkara tidak bermoral sebelum bernikah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 9:01 AM