Muhammad Saufi Hassan

Kajang: Memiliki wajah ayu dan mempunyai suara merdu dalam mengalunkan bacaan suci al-Quran. Itu pakej yang dimiliki wanita berusia 29 tahun yang bukan saja memiliki personaliti menarik, malah beliau bersama sahabat baiknya turut mengasaskan Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz.

Uniknya, maahad tahfiz berkenaan hanya dibuka kepada pelajar wanita saja berbanding kebanyakan pusat tahfiz lain yang dibuka untuk kaum lelaki saja.

Mudir Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz, Ustazah Nur Nadhrah Mohamed Yunos yang terkenal menerusi program mengaji di sebuah stesen televisyen menarik perhatian umum kerana memiliki personaliti yang menarik selain suaranya yang merdu ketika mengalunkan bacaan al-Quran.

Personaliti wanita ini persis umpama model Muslimah dan sesiapa saja mampu terpesona dengan kelunakan suaranya ketika mengalunkan bacaan al-Quran.

Biarpun Nur Nadhrah baru berusia 29 tahun, namun beliau sudah memiliki sebuah maahad tahfiz kerana kecintaannya dalam seni pembacaan al-Quran dan mahu lebih ramai lagi wanita huffaz dilahirkan pada masa depan.

Nur Nadhrah yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun berkata, minatnya dalam seni pembacaan al-Quran bermula sejak berusia 15 tahun sebelum serius mendalami bidang berkenaan sehingga bergelar huffaz beberapa tahun selepas itu.


NUR Nadhrah. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

“Saya mempelajari seni bacaan al-Quran di Maahad Tahfiz Muar, Johor dan menamatkan pengajian di sana sebelum meneruskan cita-cita untuk memperoleh Sijil Syahadah.

“Sebaik saya menghafaz 30 juzuk al-Quran, saya teruskan untuk mengambil Sijil Syahadah iaitu satu bentuk peperiksaan untuk pengiktirafan tahap hafazan saya.

“Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan Syahadah dan saya meneruskan dalam bidang pengajaran al-Quran di pusat tahfiz persendirian sebelum mengambil langkah besar iaitu menubuhkan pusat tahfiz sendiri,” katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Beliau berkata, idea penubuhan pusat tahfiz itu timbul bersama sahabat baiknya iaitu ingin melihat lebih ramai wanita menjadi huffaz dan mendalami bidang ini.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai tajaan besar. Kos operasi maahad ini sekitar RM15,000 sebulan dan ia bergantung kepada yuran pelajar iaitu sekitar RM500 termasuk makan dan minum mereka. Bagaimanapun, kami sangat berbesar hati jika ada pihak yang ingin menyumbang.

“Jika kita lihat, kebanyakan pusat tahfiz terbuka untuk lelaki dan sangat sedikit atau boleh saya katakan tiada pusat tahfiz untuk wanita. Bermula daripada idea itu, saya dan sahabat menubuhkan maahad ini.

“Di pusat tahfiz ini, semuanya diuruskan wanita. Bermula tenaga pengajar dan urusan pentadbiran adalah wanita. Saya juga seorang daripada tenaga pengajar,” katanya.


NUR Nadhrah mengajar pelajarnya mengaji al-Quran. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 8009 1572 94 (CIMB) di bawah nama Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz.

Nur Nadhrah berkata, buat masa ini, maahad miliknya memiliki 30 pelajar wanita saja kerana pihaknya mementingkan kualiti hafazan dan bacaan pelajarnya.

Katanya, memang wujud permintaan yang tinggi untuk masuk ke maahad tahfiz berkenaan namun beliau terpaksa menolaknya kerana sangat menitikberatkan soal kualiti bacaan pelajar.

“Buat masa ini, saya rasa cukup dengan 30 pelajar. Ia sudah memadai kerana saya mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Kita juga sudah membuka pendaftaran pelajar baru dan akan ada sesi temuduga bersama pelajar pada November dan Disember ini.

“Insya-Allah, ini usaha bakti saya untuk ummah terutamanya wanita. Saya ada sedikit kemahiran yang ingin dikongsi dan saya mahu lebih ramai wanita bergelar hafiz kelak,” katanya.


NUR Nadhrah bersama pelajarnya di Maahad Tahfiz Orkeed Huffaz, Taman Desa Saujana, Kajang. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 10:01 AM