NIZAM menjual geragau pada harga RM7 sekg di pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri Tanjung Kling. FOTO/HASSAN OMAR
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


MELAKA: Pesta geragau di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini mulai awal pagi semalam menyebabkan harga anak udang itu turun kepada RM5 hingga RM7 sekilogram berbanding antara RM8 hingga RM10 sekilogram, sebelum ini.

Sejak awal pagi, lokasi pantai sepanjang kira-kira lima kilometer dari Kampung Balik Bukit hingga Kampung Tanah Merah di Pantai Puteri dipenuhi puluhan penduduk yang ‘menyungkur,’ iaitu kegiatan menolak sungkur atau perangkap geragau bagi membolehkan mereka memperoleh hidupan laut itu.

Penduduk, sama ada nelayan atau yang bekerja di darat tetapi mahir menyungkur, sudah turun ke gigi pantai sejak jam 3 pagi dan tidak kurang juga yang mula menyungkur mulai jam 7 pagi.

Hasilnya, kebanyakan mereka memperoleh antara 40 hingga 100 kilogram geragau yang bermain di gigi pantai mengikut ombak dibawa angin yang dikenali dalam kalangan nelayan sebagai ‘angin barat.’

Pekerja kilang, Mohd Nizam Ithnin, 40, berkata dia mula menyungkur pada jam 7 pagi selepas melihat kebanyakan mereka yang sudah menolak sungkur lebih awal, memperoleh antara 20 hingga 30 kilogram geragau.

“Alhamdulillah, selepas empat jam menyungkur, saya terpaksa naik ke pantai kerana pundi sungkur sudah penuh dengan kira-kira 40 kilogram geragau.


NIZAM membuka pundi sungkur yang dipenuhi geragau di pantai Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri Tanjung Kling. FOTO/HASSAN OMAR

“Saya jual pada harga RM7 sekilogram kepada pelanggan yang kebetulan memenuhi pasar ikan di pantai ini pada pagi ini,” katanya ketika ditemui sejurus selepas naik ke pantai di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Dia berkata, jutaan anak udang bersaiz kecil itu bermain di gigi pantai berikutan ‘air bani’ iaitu tiada arus di dasar laut yang hadir hanya dua kali dalam sebulan mengikut kalendar Islam.

“Hari ini ialah 10 Rabiul Awal, iaitu hari pertama air bani yang lazimnya berlanjutan selama seminggu dan pada waktu inilah geragau bermain di gigi pantai mengikut angin barat,” katanya.

Isteri nelayan, Norasma Sahat, 41, berkata dia membantu menjual geragau diperoleh suaminya yang hanya ingin dikenali sebagai Mat sejak suaminya naik ke pantai pada jam 9.30 pagi.

“Alhamdulillah pelanggan tidak merungut apabila saya meletakkan harga RM7 sekilogram dan kebanyakan mereka gemar geragau di Pantai Puteri ini kerana mendakwa tidak berlumpur.

“Setakat ini saya hanya menjualnya kepada pelanggan biasa dan bukannya pemborong yang mendapatkan geragau untuk dibuat belacan atau cencalok,” katanya.

Dia berkata, rezeki anugerah Allah SWT yang hadir sekali sekala itu melegakan perbelanjaan harian keluarganya dan bersyukur penduduk di sepanjang Pantai Puteri itu juga terus dimurahkan rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:01 AM