Zamani Ibarahim
Zamani Ibarahim
Sudirman Mohd Tahir


PEMBABITAN vokalis Slam, Zamani dalam program Gegar Vaganza 5 (GV5) mengembalikan zaman kegemilangan kumpulan itu yang pernah popular menerusi lagu antaranya Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi dan Tak Mungkin Berpaling.

Meski tidak muncul secara berkumpulan, nama dan populariti Zamani masih menjadi igauan peminat sama ada yang membesar bersama mereka atau dalam kalangan generasi muda sekarang.

Selain diminati kerana suara gemersik, aura dan personaliti dimiliki Zamani, 47, atau nama sebenarnya Zamani Ibarahim meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri. Dalam erti kata lain, Zamani tiada dua.

Namun, seperkara yang sering menjadi perhatian mengenai Zamani sejak awal kemunculan hingga sekarang adalah dirinya tidak lekang daripada diajukan persoalan mengenai pasangan hidup.

Bagaimanapun, Zamani yang sebelum ini mendedahkan sudah mempunyai kekasih hati mengakui belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

“Saya dan dia masih berkawan. Tak ada apa-apa lagi perkembangan mengenai hubungan kami. Memang kami sudah lama kawan tetapi belum sampai tahap fikir nak kahwin.

“Cuma, apa boleh dikatakan saya pernah berjumpa ibu bapanya. Namun, belum ada sebarang perancangan ke arah itu. Saya bukannya nak sorok atau berahsia tetapi memang tak ada apa lagi.

“Pada usia sekarang, kalau boleh saya memang nak kahwin. Tak perlu lagi nak letakkan sasaran bila nak melangsungkan perkahwinan. Tetapi, dalam perkara ini saya kena percaya jodoh adalah ketentuan Allah. Saya juga tak tahu jodoh saya dengan dia atau orang lain,” katanya.

Zamani yang juga pelakon filem Bara berkata, perkahwinan bukan perkara biasa yang boleh dibuat main.

“Nak kahwin tak boleh main cakap saja. Banyak persiapan perlu dibuat terutama sejauh mana diri sendiri bersedia memikul tanggungjawab baru atau tidak.

“Disebabkan itu, banyak perkara perlu diambil kira dan tidak boleh main-main. Kalau boleh, apabila berkahwin nak kekal hingga akhir hayat dan bukannya bersifat sementara,” katanya.

Peminat ajak kahwin

Pada masa sama, populariti yang dicipta Zamani sepanjang GV5 membuatkan dirinya menjadi kegilaan ramai wanita.

Zamani mendedahkan, setiap hari dia menerima mesej secara peribadi di Instagram yang ingin berkenalan malah ada yang ingin meminangnya untuk dijadikan suami.

“Alhamdulillah, sepanjang terbabit dalam program itu jumlah peminat naik mendadak. Saya berasakan ia satu pencapaian peribadi apatah lagi ketika ini peminat lebih cenderung meminati penyanyi baru dan muda.

“Apabila saya yang baru berjinak-jinak dengan laman sosial dan ada ramai pengikut, sudah tentulah gembira. Saya anggap mereka sebagai penyokong selain peminat sedia ada.

“Meski ada antara mereka menghantar mesej berbaur peribadi seperti meluahkan isi hati hingga sanggup masuk meminang, bagi saya ini perkara biasa. Saya anggap itu mesej gurauan. Saya pun tak mahu fikir terlalu jauh,” katanya.

Berdepan risiko lumpuh

Selain itu, Zamani turut berkongsi dia berdepan risiko lumpuh sekiranya menjalani pembedahan penyakit skoliosis (tulang belakang melengkung) yang dialami sejak beberapa tahun lalu.

ZAMANI (kanan) bersama Ameng Spring ketika melakukan persembahan akhir pada  final Gegar Vaganza 5. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
ZAMANI (kanan) bersama Ameng Spring ketika melakukan persembahan akhir pada final Gegar Vaganza 5. -Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

Buat masa ini dia bergantung dengan ubat tahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.

“Menurut doktor tulang belakang saya sudah bengkok teruk dan mencadangkan buat pembedahan. Ia pilihan terakhir sebab masalah ini sudah tidak boleh dirawat.

“Cuma, peratusan untuk sembuh adalah nipis. Malah, ia berisiko tinggi hingga boleh mengakibatkan lumpuh jika pembedahan tak berjaya.

“Disebabkan itu, saya belum buat sebarang keputusan sama ada menjalani pembedahan atau sebaliknya. Setakat ini tiada ubat khusus untuk masalah ini,” katanya.

Menurut Zamani, sepanjang menyertai Gegar Vaganza 5 (GV5) dia bergantung sepenuhnya dengan ubat tahan sakit.

Bagaimanapun, Zamani yang mendapat tempat ketiga tidak mahu menjadikan ia alasan dan punca kualiti persembahan tidak memberangsangkan.

“Sejak mengalami sakit ini, saya tak boleh berdiri dalam tempoh lama. Paling ketara, ia mengganggu nyanyian. Walaupun tidak selalu, tapi kalau kena sekali memang beri kesan dan mengganggu. Itu yang sepanjang dalam GV saya selalu lupa lirik.

“Sebelum ini, pihak Pengasih pernah cuba nak bantu saya buat rawatan akupuntur tetapi tak sempat buat tindakan susulan sebab sibuk dengan kerja.

“Kalau tanya sekarang, saya berat hati nak buat sebab takut jarum. Namun, apabila fikir jangka masa panjang dan kerjaya nyanyian, mungkin saya boleh pertimbangkan rawatan ini. Saya kena cuba dulu. Mana tahu ia boleh membantu,” katanya.

Zamani berkata, duit kemenangan RM30,000 akan digunakan untuk menampung kos rawatan sakit tulang belakang itu.

“Duit ini saya nak manfaatkan untuk tujuan kesihatan dan perkara penting lain dulu. Soal nak guna untuk kahwin, tak ada dalam perancangan,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Zamani berkata dia dan pihak pengurusan merancang menghasilkan single baru.

“Walaupun permintaan lebih kepada lagu lama, saya takkan berhenti atau berputus asa untuk hasilkan single baru.

“Bagi saya, kalau tak cuba kita tak tahu penerimaan orang. Walaupun single solo sebelum ini gagal mendapat perhatian, tak bermakna saya kena berhenti.

“Mungkin selepas ini mereka inginkan lagu baru pula. Disebabkan itu, saya berasakan GV5 adalah platform terbaik untuk mendapatkan sokongan peminat. Bukan saja sepanjang pertandingan tetapi juga selepas ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 6:01 AM