WAN Salim bersetuju fatwa Syiah menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsesus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman ASWJ.
Muhammad Yusri Muzamir


GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bersetuju fatwa Syiah menyimpang daripada Islam boleh disemak semula berdasarkan beberapa hujah selepas mengambil kira konsesus mengenainya hanya bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Beliau berkata, ia boleh dilakukan selepas mengambil kira amalan penganutnya yang dilihat masih berada dalam lingkaran ajaran Islam selain fahaman ASWJ tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

Bagaimanapun, katanya, fahaman Syiah perlu diamalkan secara tertutup kerana berbeza dengan fahaman ASWJ selain dikhuatiri akan mengundang kecelaruan sekali gus menyebabkan perpecahan lebih parah dalam kalangan umat Islam.

“Kita boleh semak semula dan mengiktiraf Syiah, walaupun ada beberapa kumpulan tertentu dalam mazhab ini dianggap terkeluar daripada Islam.

“Ia perlu dibuat berdasarkan hujah tekstual (Al-Quran dan hadis sahih) serta rasional.

“Kita tak boleh memutuskan hukum berdasarkan kehendak sendiri, ia mesti dibuat mengikut dalil dan hujah.

“Selagi Syiah masih percaya kepada Rukun Iman, maka mereka masih Islam dan perdebatan berkaitan elemen fiqah pula dibuat berdasarkan imam mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan beberapa pihak membatalkan fatwa berhubung penetapan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam yang diwartakan pada 1996.

Bagaimanapun Wan Salim mengakui semakan semula itu akan mengundang ketegangan dalam kalangan umat Islam di negara ini dengan ia perlu diatasi melalui siri penjelasan yang berkesan.

“Semua pihak perlu mainkan peranan mereka. Kita faham perkara ini akan wujudkan ketegangan kerana nak harapkan setiap umat Islam setuju dengan semua perkara itu memang mustahil.

“Bagaimanapun, semakan semula ini bertujuan untuk mengelak daripada memberi peluang kepada musuh mengadu-domba dan mengeksplotasi titik perbezaan umat Islam. Syiah boleh diiktiraf, tetapi bukan untuk diamalkan secara meluas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 10:01 AM