MOHAMAD Rafie puas dapat membantu mereka yang memerlukan.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: Kemahiran yang ada dimanfaatkan sebaiknya oleh dua sahabat, Mohamad Rafie Yaacob, 25, dan Mohd Radhi Fathullah, 22, untuk menawarkan khidmat gunting rambut secara percuma kepada pesakit di hospital.

Mohamad Rafie berkata, kerja sukarelawan itu dilakukan sejak Mac 2016 dengan niat untuk membantu pesakit terutama yang koma, warga emas terlantar akibat uzur dan orang kurang upaya.

Menurutnya, buat masa ini, khidmat itu ditawarkan kepada pesakit yang mendapat rawatan di hospital swasta di Johor Bahru dan Pasir Gudang memandangkan dia menetap di kawasan berhampiran.

“Saya mula mempraktikkan kemahiran menggunting rambut sejak tinggal di asrama namun ketika itu sekadar membantu rakan.

“Selepas itu, saya gunakan pula kemahiran yang ada bagi membantu arwah bapa saudara, Abdul Aziz A Ghani ketika dia sakit dan daripada situ, timbul keinginan membantu pesakit terlantar di hospital.

“Lagipun belum ada individu atau pertubuhan menawarkan khidmat berkenaan, jadi saya rasa bertanggungjawab membantu insan memerlukan supaya kemahiran yang ada tidak disia-siakan begitu saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Rafie berkata, setakat ini 20 pesakit dibantu menerusi kerja sukarela berkenaan dan mereka berharap dapat membantu lebih ramai pesakit pada masa depan.

Meskipun tidak menerima bayaran, Mohamad Rafie berkata, dia puas kerana baginya apa dilakukan salah satu cara untuk berbakti kepada masyarakat.

“Saya tidak melakukan kerja sukarela ini setiap hari sebaliknya memperuntukkan sehari saja dalam tempoh sebulan kerana terikat dengan komitmen kerja sebagai pembantu butik di Singapura.

“Namun kami akan pastikan inisiatif ini berterusan kerana sebati dengan aktiviti itu yang secara tidak langsung memberi peluang kepada kami membantu masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Terima kasih kepada keluarga pesakit yang memberi kepercayaan, pengurusan hospital atas kerjasama baik dan keluarga kami kerana berterusan memberikan sokongan kepada kami untuk terus terbabit dengan kerja sukarela ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 9:23 AM