Sarah Zulkifli


LELAKI yang dikenali sebagai 'Boy Tiger' didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia tiga tahun, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Khairul Izaini Khairuddin, 31, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Khairul Izaini yang masuk ke bilik mahkamah pada 10.40 itu tenang di dalam kandang tertuduh serta berkata: 'Faham.'

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim, 3, di ruang tamu di rumah, No 11-2B tingkat 3, Jalan Bukit Indah 5, Taman Bukit Indah, Ampang, kira-kira 11 pagi, 8 November lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia dan perubatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

NSTP melaporkan pada 12 November lalu, sepasang suami isteri ditahan selepas menghilangkan diri selama empat hari kerana terbabit dalam kes penderaan kanak-kanak berusia tiga tahun.

Kedua-dua mereka ditahan di Hospital Kajang dekat sini kira-kira 11 pagi selepas isterinyayang juga ibu mangsa dikatakan melahirkan anak di inap desa di Hulu Langat sebelum menerima rawatan susulan di hospital itu.

Berita berkaitan:

  • Boy Tiger didakwa esok
  • Boy Tiger, isteri disambung reman [METROTV]
  • Boy Tiger, isteri direman [METROTV]
  • 'Boy Tiger' dah kena cekup
  • Nenek mangsa dera bimbang
  • 'Dia tak akan lari jauh'
  • Polis cari 'Boy Tiger,' isteri
  • Sampai patah tulang belakang
  • Budak maut didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 11:35 AM
    BOY Tiger (tengah) dibawa anggota polis di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali