KEADAAN harimau kumbang yang mati selepas dirempuh kereta berhampiran Kilometer 356, LPT2 berhampiran Ajil, Terengganu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KUALA LUMPUR: Tiga harimau mati dirempuh kenderaan dalam tempoh tidak sampai tiga tahun. Terbaru seekor harimau kumbang mati selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 356, Lebuhraya Pantai Timur fasa 2 (LPT2) berhampiran Dungun, Terengganu.

Dalam kejadian sekitar jam 7 malam kelmarin itu, harimau kumbang betina dikatakan melompat mendadak ke atas lebuh raya menyebabkan pemandu kereta gagal mengelak.

Akibatnya harimau dianggarkan seberat lebih 50 kilogram (kg) itu mati serta-merta akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata, kejadian terbaru itu disifatkan menyedihkan berikutan ia membabitkan hidupan liar dilindungi selain spesies terancam.

“Kes seumpama ini kerap berlaku bukan hanya membabitkan harimau namun pelbagai spesies hidupan liar dilindungi.

“Biasanya haiwan liar ini akan keluar dari habitat asal atas beberapa faktor antaranya kekurangan sumber makanan, pencerobohan, aktiviti perladangan dan pelbagai faktor lain,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini seekor harimau kumbang turut mati dilanggar kenderaan berat di Jalan Sungai Yu - Merapoh, Kuala Lipis, Pahang pada 23 Jun tahun lalu.

Pemeriksaan Perhilitan terhadap bangkai haiwan itu mendapati terdapat kecederaan serius pada beberapa bahagian badan termasuk kepalanya selepas dipercayai dilanggar kenderaan dipandu laju.

Pada Februari 2016, orang ramai turut dikejutkan dengan kejadian seekor harimau belang seberat 250kg mati selepas dirempuh kenderaan Hyundai Starex di kilometer 321.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2),

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, insiden dipercayai berlaku ketika harimau terbabit cuba melintasi lebuh raya berkenaan sebelum dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) itu yang dipandu dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu.

Abdul Kadir sebelum ini memaklumkan 2,444 hidupan liar mati dilanggar kenderaan hasil rekod dikumpulkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bermula 2012 hingga Disember tahun lalu.

Biawak dan musang masing-masing mencatatkan kematian paling tinggi membabitkan 764 ekor dan 446 ekor.

Kambing gurun dan harimau merekodkan kematian paling rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 10:00 AM