SEBAHAGIAN peserta berhimpun secara aman bagi membantah usaha untuk mengiktiraf ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di perkarangan Masjid Negeri Kota Kinabalu. FOTO Rosmah Malai Tuah
Suhaila Shahrul Annuar


KERAJAAN tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan adalah mustahil untuk melaksanakan ICERD kerana pelaksanaannya memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.

"Untuk menggubal semula Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen," katanya kepada media selepas penutupan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-26, di Papua New Guinea pada 18 November lalu.

Sebelum ini, satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan UMNO dirancang diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan ratifikasi ICERD.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata, perhimpunan itu bertujuan menyatakan bantahan orang Melayu dan Islam terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan yang dikatakan mahu meratifikasi atau mengesahkan ICERD.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, dilaporkan menyatakan kerajaan akan meratifikasi atau mengesahkan enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk ICERD dalam suku pertama tahun depan.

Berita berkaitan

Ratifikasi ICERD ditangguh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 3:53 PM