LELAKI maut ditembak polis di Jalan Ria berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). FOTO ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


LELAKI maut ditembak polis di Jalan Ria berhampiran Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, hari ini.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, mangsa, 41, meninggal dunia di lokasi selepas terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, sebelum itu, suspek bertengkar dengan seorang lelaki berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota polis yang bertugas di pondok polis KOMTAR cuba meleraikan pertengkaran terbabit namun dia diserang suspek.

“Suspek cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan sebilah pisau pemotong buah sepanjang 18 sentimeter dan anggota polis terbabit memberi amaran lisan kepadanya.

“Suspek bagaimanapun berdegil dan terus menyerang anggota terbabit yang kemudian melepaskan tembakan yang terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau membabitkan sembilan kes jenayah dan enam kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 6:08 PM