Yusmizal Dolah Aling

Menjaga ibu negara serta pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan bukanlah semudah yang disangka kerana ia menjadi tumpuan bukan saja warga tempatan, malah pelancong seluruh negara.

Pelbagai isu terutama berkait warga kota memang akan cepat ‘meletup’ sehinggakan ia menjadi fokus penting bagi Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkongsi perancangan serta perasaannya bila mana dilantik sebagai menteri di dalam Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wartawan Yusmizal Dolah Aling untuk Kafe Ahad minggu ini.

KHALID Samad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
KHALID Samad. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Ada orang kata YB ini selalu serius dan garang, boleh komen?

Penilaian masing-masinglah macam mana saya nak nilai. Itu diri sendiri kan. Bagi saya, saya rasa tak adalah serius sangat. Dalam kes-kes yang serius, kita kena seriuslah. Tapi dalam kes-kes bergurau, banyak juga kita bergurau.

Tapi tak bolehlah serius sangat kerana kalau serius sangat, kita sendiri pun tension (tertekan). So kita cuba take it easy (bawa bertenang) dan kita uruskan seperti mana yang sepatutnya. Tapi ada isu yang serius, memang perlu seriuslah. Bagi pandangan sayalah.

Sebaik diumum tersenarai sebagai menteri Kabinet, apakah yang bermain di fikiran YB?

Mula-mula tu saya pun agak peliklah. Saya tanya pada Tun (Dr Mahathir) kenapa letak saya sebagai Menteri Wilayah sebab saya ini pada ketika itu duduk di Shah Alam, saya Ahli Parlimen Shah Alam, jadi dia kata itulah, dia punya pilihan dia.

Saya kata duduk pun tak duduk di wilayah. Dia kata bila kamu jadi menteri, kamu pindah, duduk di Putrajaya, duduk di wilayahlah selesai masalah. Saya tak boleh kata apa bila dah dia jawab begitu. Dia kata oklah, saya pun ucap terima kasih dan akan buat yang terbaik.

Tapi bagi saya ini merupakan satu perkara yang mencabar kerana memang walaupun telah membesar di sekarang ini boleh dikatakan kawasan wilayah, kalau dulu masih lagi Selangor kan, kampung kawasan Universiti Malaya tu, rumah mak ayah dekat situ, tapi dapat baliklah, nak ambil tahulah tentang Kuala Lumpur, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kawasan yang banyak dah berubah, jadi makan masalah sikit dan pada masa yang sama pun dah mahsyur dengan isu kononnya berlaku banyak penyelewengan dan sebagainya.

Apabila kita ambil alih ini DBKL ya lah dia bandar raya utama, ibu kota negara dan sebagainya. Segala urusannya dan sebagainya kita kena ambil tahu.

Sambil itu Putrajaya yang juga bandar atau pun kota yang merupakan tumpuan yang ramai. Tun Dr Mahathir sendiri memberikan penekanan terhadap tumpuan kepada Putrajaya. Jadi bila saya terima jawatan Menteri Wilayah tu saya pun dah tahulah bahawa kalau tak orang lain akan berikan tumpuan pada saya Tun sendiri akan beri, pasal dia punya passion (semangat) dia adalah Putrajaya. Kuala Lumpur pun dia cukup ambil berat, Putrajaya pun begitu.

Labuan ni pula satu lagi kawasan wilayah yang baru. Saya pernah pergi ke Labuan dulu bila saya bersama dengan Petronas buat carigali minyak dan gas, tapi tak pernahlah kita nak lihat secara keseluruhannya, penduduknya, kawasannya, pembangunannya. Ianya satu cabaran yang baru kerana kita tak tahu maklumat latar belakangnya dan sebagainya.

Apakah berlaku perubahan rutin dalam hidup YB selepas menjadi menteri di dalam kerajaan baru. Bagaimana YB sesuaikan diri?

Susah. Dia memang ada perubahan yang besar kepada kehidupan dan jadual harian saya. Orang pun adalah yang mengadu kata dulu senang nak jumpa, sekarang ni susah nak jumpa. Selalu sibuk dan sebagainya, tak ada masa seperti mana dulu...jumpa kat sini, jumpa kat sana.

Orang rumah pun kata begitu juga. Maknanya bukan sekadar kamu, orang rumah dah bunyi nak jumpa pun susah, keluar pagi balik malam. Sibuk sini sibuk sana, apa yang kita biasa buat, kadang pergi rumah anaklah, jumpa anak cuculah apalah, dah kurang. Peluang itu sudah kurang dan kita terpaksa sesuaikan. Kita telah bawa satu perjuangan dan sekarang ini kita berada dalam kedudukan yang memungkinkan matlamat di sebalik perjuangan itu boleh tercapai.

Itu satu pentadbiran yang telus, lebih semangat berkebajikan, lebih adil, lebih mesra rakyat. Inilah harapan kitalah, kita berjuang untuk capai itu dan kita di satu kedudukan yang memungkinkan apa yang kita cita-cita itu terlaksana dan tercapai.

Maknanya bila menang itu dah jadi menteri itu tak capai matlamat perjuangan kita. Matlamat perjuangan kita ialah untuk pentadbiran yang lebih baik.

Ada juga yang kata patutnya sudah menang ni lagi senanglah awak. Tak juga, sebab perjuangan ini bukannya dia berhenti situ. Kalau kita kata perjuangan kita nak jadi menteri, nak senang gaji besar, nak ini nak itu...dia relakslah. Tapi ini hanya sebagai batu loncatan untuk capai satu matlamat yang lebih besar. Kita kena masuk gear yang lebih lajulah pasal kita nak buat yang terbaik.

Bila berada di kementerian ini, apa yang YB lihat perlu dan boleh ditambah baik?

Kalau dari segi keseluruhannya, kita nakkan satu pembangunan di kawasan Wilayah Persekutuan iaitu khususnya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang lebih dikatakan inklusiflah maknanya semua orang akan mendapat manfaat daripada pembangunan yang kita usahakanlah.

Bagi Kuala Lumpur memang di antara cabaran terutamanya ialah persoalan atasi masalah kesesakan lalu lintas, menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik dan berkesan. Kalau kita ada sistem pengangkutan awam yang baik dan rakyat menggunakannya, dia punya perbelanjaan pun akan kurang, jadi rakyat pun dapatlah jimat dalam 30 peratus daripada kos pengangkutan.

Selama ini dia pergi naik Grab ke, naik teksi ke, naik kereta sendiri ke, tiba-tiba dia pakai pengangkutan awam kos dia saya rasa turun. Jadi dia akan mengurangkan kos kehidupannyalah. Jadi selain daripada soal kesesakan lalu lintas itu ianya juga akan akan mengatasi masalah stres (tekanan) kerja, stres pun kuranglah. Kalau tidak keluar rumah 6.30 (pagi) nak sampai pejabat pun pukul 8, itu memang streslah.

Sebab kita ada sistem pengangkutan awam yang baik, kos kehidupan pun kita dapat kurangkan, stress kehidupan pun dapat kita kurangkan dan bila dah ada keadaan yang lebih selesa bagi rakyat dan warga kota di wilayah, kita rasa kita capailah di antara matlamat yang terpenting iaitu kualiti kehidupan bertambah baik.

Selain daripada itu soal keselamatan, kebersihan dan sebagainya. Antara matlamat saya dalam tempoh saya menjadi menteri wilayah ini ialah untuk itulah, keadaan kesesakan lalu lintas ini ditangani, soal perumahan ini pun kita nak anjurkan projek RUMAWIP, rumah mampu milik pada masa sama, bina rumah murah, menyelesaikan masalah setinggan. Ada lagi di Kuala Lumpur ini masalah setinggan yang perlu kita tangani dan secara umumnya segala perkhidmatan kepada rakyat itu kita cuba pertingkatkan.

Operasi Banteras Aktiviti Haram (OPS BAH) nampaknya berjaya. Bagaimana YB melihat usaha ini pada masa akan datang?

Usaha yang begini memang perlu adalah tetapi pada masa yang sama, seharusnya kita merumuskan berdasarkan kepada operasi yang diadakan, cara yang macam mana lebih berkesan untuk mengurangkan masalah seperti mana yang disebutkan tadi iaitu soal akhlak, soal sosial, soal arak, soal dadah dan kelab malam ni kita kena masukkan dalam lesen, syarat yang lebih ketat supaya operator kelab malam pun dia tak nak pelanggan yang datang akan menimbulkan masalah bagi dia. Kita kena sebutkan dalam lesen itu dari segi syarat kalau didapati ada berlaku ada orang bawa dadah dan sebagainya ia akan ditutup dan macam lagilah.

Apa yang berlaku, kita tangkap, lepas tu habis dia balik seperti biasa. Sepatutnya ia tak seperti itu dan kita sepatutnya daripada 48 operasi, kita boleh buat kesimpulan, rumusan, apa yang perlu kita tengok. Benda inilah yang saya berbincang dan saya pun tengok ianya masih perlu diadakan berdasarkan aduan dan sebagainya, tapi kawalan dari segi undang-undang itu perlu diperketatkan supaya ianya tidak terus berlaku.

Kalau kita terus 48, 90, 120, 300, macam tu juga, maknanya tak betullah. Kita kena cari satu pendekatan bersepadu yang boleh menyelesaikan sehingga dah tak berlaku lagi dah, atau pun kalau berlaku pun, jarang sangatlah perlanggaran sebagaimana yang kita dapati berlaku sekarang ini.

Gelandangan seperti tidak dapat dipisahkan dengan Kuala Lumpur. Bagaimana isu ini dekat di hati YB?

Gelandangan ni kita kata nak hapuskan memang susah. Apa yang kita harapkan kita dapat menguruskan mereka dengan lebih baik supaya mereka tidak menimbulkan masalah yang lain. Kalau mereka datang dari kampung, tidur di tepi jalan, kita cuba cari tempat untuk merekalah, tempat makan, tempat berehat supaya ianya tidak menjadi suatu fenomena yang mencacatkan imej bandar raya kita dan pada masa yang sama mereka pun tidak terjebak dalam masalah sosial yang lain.

Jadi kalau kita berikan tempat, dia duduk, bila dia nak, dia bolehlah...apa yang kita panggil sebagai tempat transit, petang dia letih dia boleh balik ke tempat itu dan bermalam, dapat makan dan tidur kerana kita memahami bahawa ini memang satu masalah sosial hasil daripada keadaan kehidupan di kampung ataupun sebagainya di mana mereka dah tak boleh duduk di situ, mereka datang ke bandar raya nak cari kerja tak dapat kerja, akhirnya dia tak nak balik ke kampung pasal kat kampung pun dah tak ada apa-apa kerja ke, jadi diaorang pun tidurlah dekat kawasan masjid, tepi jalan, kita cuba bantulah supaya nak jaga keselamatan dan kesihatan mereka. Kita juga menjaga imej bandar raya kita.

Lagi mengenai isu penyedut minuman. Masih ada lagi yang tak faham usaha kerajaan. Komen YB?

Dia bukan isu penyedut minuman la, dia isu pencemaran alam yang di antara bahan yang banyak didapati selain daripada beg plastik, botol plastik adalah penyedut minuman dan oleh kerana dia masuk dalam sistem, mencederakan binatang, ikanlah, baru-baru ini saya tengok kura-kuralah, jadi kita ambil kira sebagai salah satu perkara yang muda untuk kita selesaikan dan kita nak haramkan penggunaan penyedut minuman plastik yang diguna sekali saja itu dan kita gantikan dengan penyedut yang lain, ada penyedut kertas, besi, yang boleh digunakan yang bukan bahan pencemaran. Jadi apa yang telah dilakukan kita nak tambahkan penyedut itu dalam senarai perkara-perkara beg plastik.

Mengenai kapit tayar, Bagaimana YB melihat isu ini membebankan rakyat?

Ia satu perkhidmatan yang diswastakan. Kerja kapit tayar ini dia buat untuk dapat keuntungan. Bila begitu, dia set KPI (petunjuk prestasi utama) satu bulan 1,000 kapit tayar sebagai contohlah kan. Semua petugas dia ni, cari sajalah, kapit. Jadi tak betullah begitu, apa yang kita nak biarlah yang menjalankan kerja ni, dia buat bukan untuk dapatkan keuntungan tapi dia nak jaga kepentingan awam, jadi apa yang diputuskan oleh Datuk Bandar. OK sekarang mulai 1 November ini tiada lagi operasi kapit tayar oleh pihak swasta. Ianya dilakukan oleh DBKL.

Jadi DBKL akan buat, dia akan buat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ada. Kalau pihak swasta ni, dia beri amaran pun tak, nampak saja dia terus kapit pasal matlamat dia nak dapatkan KPI dia. Jadi tindakan Datuk Bandar tu, saya sokong sepenuhnya dan kalau boleh yang lain-lain tu yang tidak sepatutnya diswastakan daripada dulu, kita letak baliklah di bawah jagaan DBKL, punyai kakitangan yang cukup dan terlatih barulah betul daripada kita berikan kepada swasta yang matlamatnya ialah keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 9:54 AM