JOE sudah lebih 32 tahun terlibat dalam bidang muzik.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBABITANNYA dalam bidang muzik sudah melebihi 32 tahun. Oleh itu, pemain gitar popular, Abdul Zamin Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Joe, 49, tidak mudah mengalah apabila berdepan dugaan yang boleh mengganggu gugat kariernya.

Dilabel antara pemain gitar terbaik negara, Joe langsung tidak terkesan dengan kontroversi hangat pengunduran Hillary Ang (gitar), Fauzi (bass) dan Aweera (penyanyi) daripada kumpulan Prime Domestic yang diasaskannya.

Kini, bekas pemain gitar Wings ini hadir dengan projek terbaru apabila bakal menjayakan persembahan solo dinamakan The Best Of Joe yang akan berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 9 Disember depan.

“Persembahan ini memang fokus pada karier saya kerana akan menampilkan lagu ciptaan sendiri. Saya banyak berinteraksi dengan peminat secara langsung menerusi ‘fan page’ saya di Facebook dan mereka banyak memberi galakan.

“Sejak dulu lagi mereka sering minta saya memainkan lagu yang tak dapat dimainkan ketika saya beraksi dulu. Ia lebih terarah kepada mereka yang tahu lagu ciptaan saya untuk Wings ketika era Mus (May). Ada juga lagu ciptaan saya pada era Awie yang jarang dimainkan ketika konsert,” katanya.

Joe memulakan kariernya bersama kumpulan Scandals pada 1986. Lagu ciptaannya Penantian Yang Tak Pasti untuk kumpulan itu berjaya menjadi siulan peminat.

Joe kemudian menyertai Wings pada 1 April 1988 dan mula membabitkan diri dalam penciptaan lagu serta rakaman studio sehingga hari ini.

Joe berkata, idea ini sudah lama difikirkannya tetapi dia tidak berpeluang melakukannya ketika itu.

“Setiap kumpulan yang beraksi di atas pentas pasti ada had masa tertentu. Saya kena ikut majoriti lagu yang mahu dimainkan. Apabila saya sudah bebas ini, ia satu kesempatan untuk saya memainkan lagu ciptaan saya yang tak sempat dimainkan.

“Biasanya dalam konsert, lagu yang boleh dimainkan pun paling banyak hanya 36 ke 40 lagu, tapi kita ada banyak lagu. Jadi, saya ambil kesempatan untuk memainkan lagu yang peminat suka tapi tak sempat nak mainkan selama ini,” katanya.

Menurut Joe, pengalaman luasnya dalam industri muzik menyaksikan permintaan hanya untuk lagu arus utama, manakala lagu heavy metal agak dipinggirkan.

“Kelompok peminat lagu ini memang ramai. Mereka jarang dengar radio dan hanya mendengar daripada album. Saya buat persembahan ini atas permintaan mereka juga. Memadailah jika dibuat di lokasi sederhana begini. Persembahan ini ambil masa hampir dua jam dan mungkin memainkan 16 lagu,” katanya.

Prime Domestic masih wujud

Ditanya mengenai kedudukan kumpulan Prime Domestic, Joe pantas menjawab kumpulan ini masih teguh berdiri dalam industri muzik.

Joe berkata, Prime Domestic kini dikenali sebagai PrimeD dan turut dianggotai Ainol (dram) dan Rozaimi (bass) yang menggantikan Fauzi.

“Selain itu saya bekerjasama dengan Zul, penyanyi yang aktif di kelab bersama kumpulan Electric 5 dan Aidi, pemain keyboard dari kumpulan Soul Statue sebagai penyanyi kedua.

“Aidi memang kerap mengiringi persembahan saya, tapi besar kemungkinan jika Zul beraksi dengan baik dan peminat suka, saya akan ambil dia sebagai anggota tetap,” katanya.

Joe berkata, ‘tone’ suara Zul tinggi seperti Datuk Awie tetapi dia percaya gaya persembahannya boleh dibentuk.

“Penyanyi kelab memang pandai ‘copy’ lagu orang lain. Zul ada suara tiga ‘tone’ dan untuk album, saya akan guna ‘tone’ yang sesuai yang saya nampak pada dia.

“Saya biasa menerbitkan album dan tahu. Pengaruh Awie memang banyak pada Zul tapi dia ada sesuatu yang boleh dikeluarkan,” katanya.

Tiket yang dikenakan untuk menonton persembahan anjuran JJ Rochestra dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur ini berharga RM50.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 8:10 AM