Safeek Affendy Razali


TAKTIK sebuah sindiket pemprosesan syabu memilih premis terletak di hujung jalan dan bahagian belakang di Kawasan Perindustrian Hi Tech 5, Semenyih sebagai makmal dadah bagi mengelak dihidu pihak polis terbongkar selepas digempur, Rabu lalu.

Ini berikutan sindiket yang beroperasi hampir setahun lalu itu mahu mengelak bau busuk syabu yang dimasak boleh dihidu pekerja premis lain berhampiran.

Serbuan jam 5 pagi dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor bersama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hasil maklumat awam.

Dalam serbuan itu, sembilan suspek ditahan termasuk empat anggota polis bagi membantu siasatan lanjut.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, sindiket itu memaklumkan kepada pengurusan di kawasan industri itu kononnya mereka menjalankan aktiviti pemprosesan baja.

Bagaimanapun, katanya, mereka sebaliknya menjalankan aktiviti pemprosesan cecair ibu syabu ‘meth oil’ untuk dijadikan ‘crystal meth’ atau dadah syabu yang siap dimasak.

Katanya, apabila pemilik dan pekerja di premis kawasan terbau sesuatu yang busuk, mereka mungkin menyangkakan itu adalah bau baja.

“Dalam serbuan itu, pihak polis merampas meth oil yang dianggarkan seberat 174 kilogram (kg) yang boleh menghasilkan seberat 70 kg crystal meth, syabu seberat satu kg serta lima unit mesin untuk memproses dadah.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM3.55 juta dan dipercayai untuk pasaran dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang media selepas melawat makmal berkenaan, hari ini.

Ia adalah kejayaan dan rampasan terbesar IPK Selangor dalam usaha melumpuhkan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah untuk tahun ini.

Mazlan berkata, dalam serbuan sama, polis menahan dua lelaki yang menjaga makmal dadah berkenaan sebelum menahan tiga lagi lelaki di tempat letak kereta di Kuala Lumpur, jam 4 petang hari sama.

“Susulan tangkapan lima lelaki terbabit, pasukan serbuan kemudian menahan empat anggota polis dari IPK Selangor bagi membantu siasatan dalam kes ini pada Jumaat dan Sabtu lalu,” katanya.

Katanya, secara keseluruhan pihak polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah lori dianggarkan bernilai RM125,000, wang tunai RM105,500 serta wang dalam akaun bank berjumlah RM225,955.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 6:59 PM
SEBAHAGIAN peralatan memproses syabu yang dirampas di sebuah premis yang dijadikan makmal dadah di dadah di Kawasan Industri Hi-Tech 5, Semenyih. Mazlan (gambar kecil) Foto/video MOHD YUSNI ARIFFIN