ROSHAN sempat melamar teman wanitanya, Shinna untuk berkahwin ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/ASYRAF HAMZAH
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mahu membuat kejutan dan mencipta kenangan manis luar biasa mendorong seorang doktor melamar teman wanitanya sambil disaksikan ribuan rakyat Malaysia.

Lelaki terbabit membuat kejutan itu di hadapan 83,000 penonton ketika perlawanan Kumpulan A Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Bukit Jalil, malam Sabtu lalu.

G Roshan, 27, memberitahu dia mahu rakyat Malaysia menjadi saksi keutuhan cintanya terhadap buah hati tersayang, Shinna Teh yang sama usia dengannya.

“Sebenarnya perancangan membuat kejutan ini dibuat tiga minggu lebih awal dengan kerjasama pihak penganjur. Saya juga minta keizinan dan restu daripada kedua-dua belah keluarga tapi merahsiakannya daripada pengetahuan Shinna.

“Saya gembira kerana misi berjaya. Gelagat saya membuatkan Shinna terharu malah dia bersetuju menerima lamaran saya pada malam itu.

“Lebih manis kami mendapat sokongan ramai rakyat Malaysia pada malam itu, malah ada yang mahu bergambar kenangan bersama,” katanya.

Pakar tulang belakang bertugas di sebuah klinik di ibu negara itu berkata, lamaran itu dibuat pada waktu rehat separuh masa pertama perlawanan.

“Waktu rehat cuma 15 minit. Shinna duduk di tepi saya menangis kerana terharu selepas melihat iklan komersial di layar skrin besar berubah kepada ‘Jom kahwin saya Shinna?

“Ketika itu juga saya bertanyakan soalan sudikah berkahwin dengan saya. Jawapan diberikan sudah tentu menggembirakan saya.

“Kemudian saya sarungkan cincin ke jarinya dengan menerima tepukan gemuruh dan sorakan penonton di stadium pada malam itu,” katanya.


LAYAR skrin besar menunjukkan lamaran Roshan terhadap Shinna.

Katanya, lamaran itu bukan gimik atau menunjuk-nunjuk sebaliknya lebih kepada kejutan untuk menghargai orang tersayang yang dikenali sejak lebih empat tahun lalu.

“Kami gemar menyaksikan perlawanan bola sepak, jadi saya mahu menjadikan malam itu sebagai satu detik istimewa buat kami berdua.

“Pada mulanya saya sendiri takut untuk buat kejutan itu, bimbang penerimaan masyarakat kita bagaimana? Tetapi malam itu saya nampak sangat wujud perpaduan luar biasa antara orang kita tidak kira bangsa.

“Semua bangsa bersatu bukan saja menyokong pasukan Malaysia, malah mereka juga sama-sama meraikan kegembiraan saya melamar Shinna,” katanya.

Mengimbau perkenalan dengan buah hatinya, Roshan berkata, mereka bertemu ketika menjalani latihan industri pada tahun akhir pengajian.

“Saya belajar dalam jurusan Chiropractic di International Medical University (IMU), Bukit Jalil manakala Shinna di SEGi University Kota Damansara.

“Kami bertemu buat pertama kali ketika latihan industri. Waktu itu saya menjadi ‘pesakit’ manakala Shinna sebagai optometris yang perlu memeriksa mata saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 11:02 AM