NURUL Najihah bersama Adib. FOTO Ihsan Facebook Nurul Najihah
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


“SUKAR untuk saya luahkan perasaan buat masa ini, saya masih terkejut,” kata Nurul Najihah Mohd Radzi tunang kepada Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diserang perusuh, awal pagi hari ini.

Nurul, 25, yang ditemui di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) berkata, kali terakhir dia bertemu Adib, jam 6 petang semalam.

“Selalunya sebelum Adib masuk bertugas, kami akan berjumpa terlebih dahulu, kami makan bersama petang semalam.

“Saya dimaklumkan pasal kejadian yang menimpa Adib menerusi mesej yang tular. Telefon saya ada menerima panggilan sebelum itu tetapi saya tidak jawab kerana saya sudah tidur ketika itu.

“Saya kemudian menghubungi rakan sepasukannya untuk mengesahkan perkara itu, yang kemudian memaklumkan Adib sudah berada di hospital,” katanya.

Eksekutif Jualan itu berkata, dia amat terkesan dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan berita tidak benar mengenai keadaan semasa tunangnya.

“Hentikan penularan berita yang tidak benar, ia memberi kesan kepada ahli keluarga.

“Kalau boleh, teruskan berdoa untuk keselamatan Adib, keadaan terkininya lebam di bahagian badan dan muka nampak macam surut sedikit, jika dibandingkan pagi tadi.

“Bagaimanapun, tekanan darahnya masih rendah,” katanya.

Difahamkan, pasangan berasal dari Kedah itu merancang untuk melangsung perkahwinan mereka pada 21 Disember depan.

Sebelum ini, media melaporkan Nurul memuat naik keluhan mengenai Adib di akaun Facebooknya.

“Kamu kuat. Cepat bangun kamu Muhammad Adib. Doakan tunang saya... tak kuat tengok kamu macam itu,” katanya.

Sebahagian besar pengguna Facebook yang terdiri rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa turut melahirkan rasa simpati kepada Nurul selain mendoakan keselamatan tunangnya.

Sementara itu, abang kepada Adib, Muhammad Asyraf berkata, pihak keluarga buat masa ini tidak mahu bertemu dengan media.

“Ia satu keadaan yang sukar, dan kami selaku keluarga Adib belum bersedia untuk bertemu dengan pihak media,” katanya ringkas ketika ditemui.

Dalam kejadian jam 1 pagi hari ini, Adib yang pergi ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu sebuah EMRS dan jentera FRT dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 7:09 PM