RASA simpati yang tinggi mendorong Mohd Fadli membantu murid kurang bernasib baik.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: “Setiap kali melihat murid datang ke sekolah dengan berpakaian lusuh, menggalas beg serta memakai kasut koyak, hati saya tersentuh.

“Itu mungkin disebabkan naluri saya sebagai bapa,” kata guru Sekolah Kebangsaan Gombak (1) Mohd Fadli Salleh, 35, yang aktif dalam aktiviti kebajikan sejak lima tahun lalu.

Menariknya, bapa empat anak itu lebih selesa bergerak secara solo dalam mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan.

Meskipun terikat dengan komitmen kerja, dia bersyukur kerana masih dapat meneruskan inisiatif itu hasil sokongan keluarga, rakan dan pengikut di laman sosial yang turut menghulurkan sumbangan.

“Sejak berkhidmat sebagai guru, saya kenal ramai murid daripada pelbagai latar belakang dan paling menyedihkan apabila melihat mereka memasuki kelas dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya rasa terpanggil membantu dengan harapan dapat meringankan beban keluarga mereka. Pada mulanya, saya sekadar membelikan murid berkenaan kelengkapan sekolah,” katanya.


MOHD Fadli membantu memlih pakaian sekolah untuk muridnya.

Katanya, bantuan kemudian diperluas dengan mengenal pasti golongan kurang berkemampuan yang tinggal sekitar kediamannya.

Dia memperuntukkan seminggu atau dua minggu sekali menziarahi golongan berkenaan dan bertanya keperluan mereka.

Menurutnya, aktiviti ziarah itu dilakukan pada waktu siang dan ada kalanya Mohd Fadli ditemani rakan berminat untuk mengikutnya.

Mohd Fadli berkata, selain murid dan masyarakat sekitar Gombak, dia pernah menghulurkan bantuan kepada penduduk di kampung halamannya di Pasir Puteh, Kelantan.

Jelasnya, dia memanfaatkan masa ketika pulang ke kampung untuk menziarahi golongan kurang berkemampuan di Kelantan.

“Saya tiada sasaran khusus atau golongan tertentu, jika rasa individu atau keluarga terbabit perlu dibantu, saya hulurkan bantuan mengikut kemampuan.


MOHD Fadli bersama murid yang menerima bantuan beg sekolah.

“Boleh dikatakan saya aktif sepanjang tahun dan tidak hanya menjelang awal sesi persekolahan. Cuma, saya tidak sangka program agihan beg sekolah di Taman Greenwood, Gombak, mendapat sambutan luar biasa.

“Ramai berasak-asak mendapatkannya. Apa pun, saya bersyukur kerana masih diberikan peluang membantu kerana gembira melihat kehidupan penerima bantuan berubah menjadi lebih baik,” katanya.

Perkara yang lebih menggembirakan Mohd Fadli, apabila ada dalam kalangan individu dibantu sebelum ini mula aktif dalam aktiviti sukarelawan dan menghulurkan bantuan kepada orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 8:03 AM