ZURAIDA mengangkat sumpah sebagai ADUN pada Persidangan DUN Ke-14, semalam.
ZURAIDA mengangkat sumpah sebagai ADUN pada Persidangan DUN Ke-14, semalam.
Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar


KUALA TERENGGANU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam menyaksikan peristiwa bersejarah apabila buat pertama kalinya wanita diberi penghormatan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

Zuraida Md Noor, 38, dilantik sebagai ADUN wanita pertama negeri ini dalam Persidangan DUN Ke-14, di sini.

Pelantikan Zuraida yang juga Pengarah AMEERAH (sayap PAS) Terengganu dibuat mengikut peruntukan undang-undang tubuh.

Zuraida melafazkan angkat sumpah sebagai ADUN dalam majlis yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi.

Pelantikan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Zuraida yang berasal dari Sungai Rengas di sini, mula berkecimpung dalam politik dan bergiat cergas dalam PAS sejak 2007.

Ibu kepada tiga anak itu berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM).

Zuraida berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan kerajaan negeri menyedari kepentingan dan peranan wanita kepada Terengganu.

“Tugas sebagai ADUN wanita bukan sekadar membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan saja, sebaliknya untuk berkhidmat kepada semua masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Terengganu Yahaya Ali berkata, pelantikan Zuraida itu satu penghormatan kepada wanita untuk sama-sama menyumbang idea membangunkan negeri itu.

“ADUN yang dilantik ini akan menjalankan tugas dalam DUN sama seperti ADUN lain, namun tidak dibenarkan mengundi saja,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh, 57, pula dilantik sebagai Ahli Dewan Negara Terengganu bagi mengisi kekosongan jawatan senator.

Beliau yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya dan Ijazah Pengubatan Islam Darussyifa’ adalah bekas calon Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di samping bekas calon Parlimen Rompin (PRU13) dan bekas calon DUN Tahan (PRU12).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 9:01 AM