Murni Wan Omar


REMAJA berusia 18 tahun yang terputus kepala zakarnya ketika berkhatan lapan tahun lalu, memfailkan saman terhadap seorang pembantu perubatan dan lima lagi kerana cuai sehingga menyebabkannya cacat.

Saman itu difailkan oleh remaja itu selaku plaintif melalui ibunya pada Julai lalu melalui Tetuan Mohamad Zainuddin & Co.

Plaintif menamakan pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang (defendan pertama), pegawai perubatan dan pengarah hospital itu (defendan kedua dan ketiga), doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang (defendan keempat dan kelima) serta Kerajaan Malaysia (defendan keenam).

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Plaintif yang tidak hadir diwakili peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar dan Nur Eliza Abd Rashid.

Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk pengurusan kes berikutan defendan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan saman itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 13 Disember 2010, pada jam 10 pagi, pembantu perubatan (defendan pertama) bersama dengan seorang pembantu menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (doktor perubatan) terhadap dua kanak-kanak termasuk plaintif.

Ketika kejadian, plaintif berusia 10 tahun dan ia dilakukan di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa, defendan pertama tidak mengikut prosedur standard dan tanpa kewajipan berhati-hati apabila memotong keseluruhan kepala kemaluan zakarnya.

Akibat perbuatan cuai defendan pertama, kepala zakar plaintif terputus dan darah keluar dengan banyak.

Defendan pertama didakwa mendapatkan semula bahagian kemaluan yang terputus dan membuat penyambungan semula kepala zakar kepada batang zakar dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur yang betul.

Seterusnya, plaintif mendakwa defendan pertama menutupi seluruh kepala zakar dengan kain pembalut putih, namun darah masih keluar dengan banyak.

Ketika itu, defendan pertama mengarahkan ahli keluarga plaintif membawanya ke Hospital Daerah Kuala Lipis, pada 11.30 pagi.

Ketika berada di hospital itu, plaintif mendakwa rawatan segera tidak diberikan dan terpaksa menunggu.

Plaintif mendakwa defendan kedua mengetahui bahawa kepala zakarnya (glans penis) sudah putus tetapi tidak memaklumkan keadaan sebenar sebaliknya hanya memberitahu kepada ahli keluarga bahawa saluran kencingnya terpotong.

Defenden kedua didakwa cuai kerana tidak menjalankan prosedur penyambungan semula dan mengambil masa lama sebelum membuat keputusan menghantar plaintif bagi mendapatkan rawatan pakar di Hospital Selayang.

Plaintif mendakwa terpaksa menunggu anggaran dua jam di Unit Trauma dan Kecemasan Hospital Daerah Kuala Lipis sebelum di bawa ke Hospital Selayang.

Plaintif mendakwa tiba pada jam 3 petang di Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan pada jam 8.15 malam.

Selesai daripada pembedahan ibu plaintif dimaklumkan untuk menunggu penutup getah yang menutupi kepala zakar terjatuh dengan sendirinya bagi mengetahui keadaan sebenar.

Apabila penutup getah itu jatuh pada hari ke-35, ibu plaintif terkejut dan sedih kerana kepala zakar anaknya itu sudah tiada.

Defendan keempat didakwa memberi jaminan bahawa “glans penis” itu berkemungkinan akan tumbuh apabila plaintif berusia baligh.

Namun sehingga kini “glans penis” itu tidak tumbuh langsung dan kini plaintif mengalami kecacatan kekal.

Akibat daripada kecacatan kekal itu, plaintif berubah sikap menjadi pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya dan hanya berkawan dengan kanak-kanak lebih kecil serta tidak faham langsung dunia seksualiti.

Sepanjang masa material, plaintif mendakwa terpaksa menanggung perbelanjaan dan kos yang tinggi iaitu sebanyak RM108,356 termasuk kos ulang-alik rawatan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 3:43 PM
FOTO Hiasan