RANGKA manusia terbabit. FOTO Ihsan Pembaca
RANGKA manusia terbabit. FOTO Ihsan Pembaca
Junaidi Ladjana


LELAKI yang sedang mencari jantung pisang lari lintang-pukang apabila menemui rangka dipercayai manusia di bawah pokok pisang di tepi jalan Kampung Saga, Numbak, Manggatal, di Kota Kinabalu, hari ini. .

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki yang terkejut kemudian berlari dan memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai penemuan rangka berkenaan.

Seorang lelaki dikenali sebagai Ahir, 29, berkata, ketika itu, dia sedang membaiki kereta milik abang iparnya di Kampung Saga, lalu terkejut apabila melihat lelaki berlari.

“Lelaki itu kemudian memberitahu menemui rangka manusia di kawasan pokok pisang ketika sedang mencari jantung pisang.

“Saya dan beberapa penduduk kampung kemudian bergegas ke lokasi yang dimaklumkan sebelum menemui rangka dipercayai manusia," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurut Ahir, tidak lama selepas itu, sepasukan polis tiba untuk menjalankan siasatan.

“Saya tidak pasti identiti mayat itu. Sebab saya berasal dari Lahad Datu dan datang ke sini untuk membaiki kereta abang ipar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan ada menerima maklumat berkenaan penemuan rangka berkenaan.

“Satu rangka dipercayai manusia ditemui dan disyaki mati dua hingga tiga minggu lalu.

“Setakat ini kes masih dalam siasatan dan semua rangka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:19 PM