KEADAAN kereta diperiksa Mohd Zamri bersama rakannya sebelum dirempuh kereta lain yang terbabas di tepi Jalan Semantan, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO ihsan polis.
Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


SEORANG anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) maut manakala rakan setugasnya parah dirempuh kereta yang terbabas di Jalan Semantan dari Jalan Damansara menghala ke ibu negara, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.50 pagi itu, Konstabel Mohd Zamri Sinsian, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya, Konstabel Osman Ibrahim, 23, parah di kepala.

Seorang lagi anggota URB yang turut berada di situ, Koperal Mohd Samsul Ishak terselamat dalam kejadian itu.

Ketiga-tiga mereka adalah anggota URB dari Balai Polis Travers.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata ketika kejadian, tiga anggota URB menaiki tiga motosikal itu sedang membuat pemeriksaan mengejut ke atas sebuah kereta di tepi Jalan Semantan.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta yang sedang menuruni bukit terbabas dan merempuh dua anggota URB terbabit dari arah belakang.

“Seorang anggota meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami pendarahan di kepala. Seorang lagi anggota URB terselamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 44 tahun yang memandu kereta berkenaan kini ditahan dan dibawa ke pejabat JSPT Kuala Lumpur untuk ujian alkohol menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat manakala anggota yang cedera kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 8:57 AM