PASANGAN itu menguruskan ladang sayuran mereka tanpa bantuan sesiapa. - Agensi
Agensi

BEIJING: Suami tiada tangan manakala si isteri kaki tetapi pasangan ini mampu hidup bahagia bersama seorang anak perempuan dan meneruskan kehidupan mereka tanpa bantuan sesiapa pun.

South China Morning Post melaporkan, pasangan yang berasal dari utara China ini menjadi inspirasi pengguna media sosial di negara itu selepas gambar mereka melakukan kerja harian tular di Internet.

Liu Hai dan Li Meiwen sudah 11 tahun berkahwin dan menguruskan ladang sayuran serta ternakan ayam di Inner Mongolia.

Pasangan itu mempunyai seorang anak perempuan dan enggan menerima derma atau bantuan daripada sesiapa untuk membantu meneruskan kehidupan mereka.

Liu berkata, mereka enggan menerima derma atau bantuan kerana mahu mengajar anak mereka erti perjuangan dan hidup berdikari.

“Kami memperoleh wang yang cukup untuk menyara kehidupan kami bertiga. Kami tidak mahu mengambil kesempatan daripada kemurahan hati orang lain,” katanya kepada agensi berita Xinhua.

Liu seorang bekas tentera dan dia hilang kedua belah tangannya dalam satu kemalangan di tempat kerja, 21 tahun lalu.

Li pula hilang kedua belah kaki dalam satu kemalangan jalan raya ketika dia berusia 13 tahun.

Liu bertemu Li selepas wanita itu muncul dalam satu program televisyen pada 2007 sebelum berkahwin.

“Apabila kita bersama, kita mempunyai tangan dan kaki, kita mampu hidup bahagia bersama,” kata Liu kepada Li ketika kali pertama mereka bertemu.

Gambar pasangan itu bersama anak mereka turut disiarkan dalam akaun media sosial Xinhua dan ramai pengguna gembira melihat keluarga berkenaan.

“Saya juga berasa gembira melihat gambar keluarga ini,” kata seorang pengguna.

Menurut data kerajaan, sekurang-kurangnya 85 juta penduduk di China hidup dengan kecacatan tetapi organisasi hak asasi manusia menganggarkan jumlah golongan itu hampir 200 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 6:30 AM