Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kemenangan Malaysia ke atas Thailand pada perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki edisi 2018 kelmarin menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.

Peminat bola sepak tempatan tampil dengan kreativiti masing-masing apabila membuat koleksi gambar dengan ayat-ayat sindiran terhadap kekalahan pasukan Gajah Perang itu.

Mereka tidak ketinggalan untuk meraikan kemenangan itu selepas Malaysia tewas dua perlawanan pada peringkat kumpulan ketika edisi 2016.

Antara yang menarik perhatian adalah gambar harimau sedang menggigit gajah dengan kapsyen ‘Mimpi ngeri di halaman sendiri’ dikongsi peminat menerusi Twitter.

Selain itu, ada juga penyokong yang tidak dapat menahan diri daripada mempersenda kenyataan penjaga gol Thailand Chatchai Budprom sebelum itu yang mengatakan mereka akan memberi mimpi ngeri kepada pemain Malaysia menjelang separuh akhir kedua Piala AFF di Bangkok.

Kenyataan penuh yakin Chatchai itu ternyata membuatkan peminat bola sepak Malaysia tampil dengan idea menarik iaitu membuat gambar menggunakan teknik pertindihan menunjukkan Chatchai sedang tidur sambil bercucuran air mata.

Tidak habis dengan itu, ada juga peminat yang mereka gambar Chatchai sedang berbaring di atas katil dengan memasukkan gambar harimau dan dua pemain Malaysia dengan perkataan, “Are you dreaming there???”

Di Facebook pula, ada peminat yang bertanyakan penjaga gol Thailand sama ada tidur lena atau tidak, malah mempersendakan lagi apabila sepakan penalti yang dikatakan melambung menembusi bumi.

Reaksi yang mencuit hati itu membuktikan ‘mimpi ngeri’ yang dijanjikan buat pasukan kebangsaan nyata memakan diri dan nampaknya, Chatchai teruk ‘dibahan’ di laman sosial.

Menerusi seorang pengguna Facebook iaitu Syed Azly Jigon, dia berkata, penjaga gol Thailand perlu berjaga-jaga ketika membuat kenyataan dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Harimau Malaya.

Dalam laman Twitter, pemilik akaun menggunakan nama Abg Chepoy berkata, mimpi ngeri itu adalah apabila bola yang disangka membawa kemenangan akhirnya terbang tinggi hingga ke Plato.

Rata-rata penyokong di media sosial juga memberikan kata semangat kepada Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada pemain yang menunjukkan komitmen serta berjuang berhabis-habisan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 10:00 AM