Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan sebuah restoran di Osaka, Jepun yang sebelum ini diragui status halalnya tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal daripada mana-mana badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM di sana.

Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya bekerjasama dengan tujuh badan halal yang bertanggungjawab menjaga pensijilan itu di Jepun untuk mengenal pasti status restoran terbabit.

“Perlu diketahui sehingga kini JAKIM tidak mengeluarkan pengesahan halal pada premis makanan yang berada di luar negara.

“Proses tersebut dilakukan badan pensijilan halal di negara itu sendiri.

“Kita ambil maklum mengenai dakwaan empat cef tempatan terbabit dan kita sudah berhubung dengan badan pensijilan di sana untuk mengetahui status tepat mengenai dakwaan sebuah restoran menyediakan bahan tidak halal,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, tujuh badan pensijilan halal di Jepun yang mendapat pengiktirafan JAKIM ialah Japan Muslim Association, Japan Halal Association, Japan Halal Unit Association, Japan Islamic Trust, Muslim Professional Japan Association, Nippon Asia Halal Association dan Japan Halal Foundation.

Beliau mengulas laporan akhbar ini, semalam mengenai pengakuan empat cef yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya pelanggan restoran terbabit di Osaka kerana mereka curiga dengan bahan digunakan dalam masakan yang dipromosikan sebagai halal.

Mereka yang tampil membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa mempunyai bukti lengkap menunjukkan bahan digunakan tidak halal serta ia diakui sendiri pemilik restoran terbabit yang menjalankan perniagaan itu sejak beberapa tahun lalu.

Hasrat untuk membuat pendedahan itu tercapai apabila mereka bertemu seorang aktivis PPIM yang hadir dalam satu program mempromosikan makanan halal di restoran terbabit, hujung bulan lalu.

Sirajuddin berkata, JAKIM tidak mengeluarkan sijil halal di luar negara tetapi bekerjasama dengan badan pensijilan halal yang diiktiraf di mana-mana negara untuk memastikan semua penyediaan makanan dan penggunaan bahan mengikut apa yang ditetapkan syarak.

Katanya, bagi membantu masyarakat Islam khususnya di Malaysia yang melancong sama ada di Jepun atau tempat lain, panduan untuk mendapatkan makanan halal di restoran boleh diperoleh menerusi badan pensijilan halal berkenaan.

“Ini kerana kita bimbang ada yang meletakkan sendiri logo halal tanpa melalui badan pensijilan itu.

“Orang ramai boleh semak di portal www.halal.gov.my untuk melihat restoran halal di tempat mereka hendak pergi,” katanya.

Berita berkaitan

'Selidik dulu status halal - PPIM [METROTV]'

'Nekad enggan subahat [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 8:35 AM