LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Suzalina Halid


MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir enggan mengulas tindakan anaknya yang didakwa menyelar peserta perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu lalu.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya tersenyum dan menggelengkan kepala ketika diajukan soalan mengenai banyak kritikan diterima Melia Serena Mukhriz

susulan status yang dimuat naik anaknya itu di Instagram (IG) itu.

Melia Serena melalui IG menyebut bahawa perhimpunan terbabit sebagai menjijikkan dan amat mengecewakan dengan gambar peserta himpunan berkenaan.

Susulan status yang dimuat naik itu, anaknya mendapat kritikan hebat daripada nitizen sebelum memuat naik sebuah lagi status melahirkan kekecewaan terhadap bangsanya sendiri yang disifatkan penuh kebencian, diskriminasi dan pembuli.

Sabtu lalu, perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana didalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini.

Berita berkaitan

'Beliau bebas beri komen...' - PM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 1:57 PM