SAFAWI ledak gol pernyamaan di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO/Mohamad Shahril Badri Saali
Aziman Rosdi dan Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan

 

KUALA LUMPUR: Pemburuan kejuaraan kedua Piala AFF tampak sukar buat skuad Harimau Malaya selepas hanya seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Meskipun tanpa bekalan selesa sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi kedua Sabtu ini, kebangkitan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mengikat skuad juara 2008 itu selepas ketinggalan dua gol harus dipuji.

Malaysia kini memerlukan keajaiban di Hanoi seperti yang dilakukan ketika menang 4-2 pada separuh akhir 2014 untuk mara ke final menerusi agregat 5-4.

Kecederaan dialami Aidil Zafuan Abd Radzak dan penggantungan Syahmi Safari menyebabkan Cheng Hoe merombak bahagian pertahanan dengan menurunkan Irfan Zakaria dan Amirul Azhan Aznan buat kali pertama dalam kesebelasan utama.

Sorakan lebih 80,000 penyokong tuan rumah jelas tidak menggentarkan Vietnam yang tenang menyerap asakan skuad negara.

Skuad Naga Emas yang menduduki ranking ke-100 dunia itu menyentap semangat Harimau Malaya dengan menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit.

Bermula dengan serangan pantas pada minit ke-22, bola hantaran lintang Phan Van Duc gagal dikeluarkan pertahanan negara untuk Nguyen Huy Hung menjaringkan gol pertama.

Belum sempat anak buah Cheng Hoe menyusun langkah, mereka dikejutkan dengan jaringan Pham Duc Huy menerusi rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Farizal Marlias di gawang.

Malaysia, juara 2010 yang tewas kepada Vietnam 0-2 di Hanoi dalam aksi peringkat kumpulan bangkit merapatkan kedudukan menerusi tandukan pertahanan tengah Shahrul Saad yang menyambar bola sepakan percuma Syamer Kutty Abba pada minit ke-36.

Semangat anak buah Cheng Hoe kembali membara apabila berjaya mengikat kedudukan pada minit-60 selepas pemain Pemain Paling Bernilai Kebangsaan, Safawi Rasid menghasilkan gol pertama peribadinya dalam kempen AFF menerusi sepakan percuma melencong menerjah jaring.

Malaysia hampir memperoleh gol kemenangan pada minit akhir permainan namun sepakan percuma Syafiq Ahmad diselamatkan penjaga gol Dang Van Lam.

 

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 10:50 PM