Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada majlis pelancaran Proton X70 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. FOTO Luqman Hakim Zubir
Lizam Ridzuan


PROTON Holdings Berhad (Proton) secara rasmi melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium pertamanya, Proton X70 malam ini.

Empat varian ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD dengan enjin 1.8 liter Turbo Gasoline Direct Injection (TGDI) yang menghasilkan kuasa 181 hp dan tork 285Nm pada 1,500 rpm.

Model iitu juga bercirikan kenderaan pintar dengan Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu (GKUI), yang menawarkan pelbagai fungsi pengguna melalui aplikasi dan pilihan kekal berhubung bersama ‘kenderaan’ melalui telefon pintar dengan akses ‘Mirror Link’.

Ciri keselamatan Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) dilengkapi dengan Program Kestabilan Elektronik (ESP), Brek Kecemasan Berautonomi (AEB) dengan Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Tukaran Lorong (LDW), Sistem Amaran Titik Buta (BLIS) dan enam beg udara SRS.

Penarafan lima bintang ujian Penilaian Keselamatan Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN-NCAP) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) juga diberi untuk model berkenaan.

Untuk pasaran Malaysia Proton X70 dijual pada harga RM99,800 (Standard 2WD), RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive AWD) dan RM123,800 (Premium 2WD).

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 10:17 PM