HATTAN bakal tampilkan dengan persembahan istimewa. FOTO/NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


LEBIH 10 tahun tidak mengadakan persembahan solo untuk peminat, kini Datuk Hattan, 53, bakal beraksi dalam Hattan Biso Bonar Showcase yang akan berlangsung di House @ G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Penyanyi yang terkenal dengan vokal berkarisma dan sinonim dengan genre rock & roll serta blues ini mengakui dia bukan jual mahal kerana tidak mengadakan persembahan sebelum ini, tetapi kekurangan ‘venue’ yang sesuai menyukarkan dirinya serta penyanyi lain untuk menunjukkan persembahan berkualiti kepada peminat.

“Dulu kita ada Planet Hollywood yang buka peluang kepada artis tempatan beraksi. Tempat itu sudah ditutup dan peluang itu sudah tiada sekarang.

“Kali terakhir saya beraksi di Planet Hollywood ialah apabila menghasilkan album Biso Bonar pada 1998. Jika ada lagi tempat begitu, bolehlah digunakan sebagai platform untuk artis senior dan BBNU (Budak Baru Nak Up) beraksi,” katanya.

Hattan yang menyerlah menerusi deretan lagu popular antaranya Memburu Rindu, Mahligai Syahdu dan Dari Kekasih Kepada Kekasih turut bersimpati dengan nasib penyanyi baru yang terkial-kial mencari peluang menunjukkan bakat mereka kepada peminat.

“Saya tahu perkara ini kerana saya juga turut menganjurkan acara berkaitan seni. Hari-hari ada penyanyi menghubungi saya bertanyakan ada ‘show’ atau tidak untuk mereka. Mereka tak kisah berapa dapat pun janji ada ‘show’. Ia satu perkara yang menyedihkan dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Dikenali sebagai penyanyi yang lantang bersuara, Hattan turut menegur kepincangan yang berlaku apabila masyarakat tidak dididik untuk menonton persembahan secara berbayar.

“Yang peliknya, kalau tiket konsert penyanyi luar kita beli. Kalau tempatan, asyik nak tengok percuma saja. Bukan tiada langsung penonton beli tiket untuk artis besar seperti Search, Wings, Datuk Sheila Majid dan beberapa lagi tapi untuk penyanyi lain, ramai harapkan tiket percuma.

“Ini memang boleh membunuh penyanyi. Untuk persembahan ini, saya kena ajar yang semuanya kena bayar tak kiralah kawan ataupun saudara-mara,” katanya.

Menurutnya, harga tiket RM100 yang disertakan segelas minuman percuma bukanlah terlalu mahal. Malah ia menjadi tanda penghargaan terhadap nyanyiannya.

“Ia juga untuk tolong penyanyi tempatan. Bayangkan kalau tiket untuk konsert Guns N’ Roses berharga RM500, sanggup pula orang beli. Ada yang kata mereka kelas dunia, tapi saya tengok mereka pun ada pancit juga waktu buat persembahan, tapi sebab mereka artis luar, tiadalah orang kutuk. Saya hargai band bawah tanah seperti Kugiran Masdo yang sanggup bayar tiket sebagai tanda menyokong artis tempatan,” katanya.

Bakal tampil dengan persembahan menarik

Hattan tidak mempunyai sebarang akaun media sosial kerana tidak mahu dilihat terlalu mempromosikan dirinya secara murahan kepada peminat.

“Saya senang dengan cara begini. Dalam sebulan, saya dapat tawaran menjayakan empat persembahan untuk majlis makan malam dan ia sudah mencukupi. Saya memang takkan berkongsi cerita peribadi di laman sosial. Sebagai artis, saya perlu jaga nilai eksklusif saya,” katanya.

Mengulas mengenai konsep persembahannya, Hattan berkata, ia sesuatu yang istimewa kerana dia akan diiringi kumpulannya sendiri iaitu Biso Bonar.

“Istimewanya, persembahan saya akan menampilkan beberapa segmen kerana selain lagu sendiri, saya juga akan menyampaikan lagu kegemaran seperti Keroncong Untuk Ana, Ibu dan Setahun Sudah Berlalu.

“Tak terkecuali, saya juga akan berduet dengan anak, Adam menerusi beberapa lagu nanti. Diharapkan peminat saya hadir menyokong persembahan yang akan berlangsung selama dua jam ini,” katanya.

Tiket untuk menonton berharga RM100, manakala maklumat lanjut mengenai showcase ini boleh diperolehi menerusi Facebook.com/housegrp.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:30 AM