Nurul Amanina Suhaini

PERLUMBAAN pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor, hari ini dikejutkan dengan insiden kemalangan yang meragut nyawa pelumba CP150, Md Hafiz Nor Azman.

Kemalangan itu berlaku selepas pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu memulakan perlumbaan di petak pertama.

Difahamkan, Hafiz disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Kota Tinggi selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku kira-kira 4 petang tadi.

Bapa mangsa yang juga bekas pelumba, Nor Azman Mad Darus, berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan anaknya terlanggar penghadang di tepi litar menyebabkan penghadang itu terkeluar ke tengah litar.

“Pada masa sama, arwah tidak sempat mengelak menyebabkannya melanggar objek yang terpelanting keluar dari litar sehingga motosikalnya terjatuh," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, hari ini.

Nor Azman berkata, kemalangan berlaku ketika pelumba tengah laju dan perlumbaan juga sudah hampir selesai.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Hafiz tidak sedarkan diri sebelum terus dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, rakan mangsa, Fakhrusy Syakirin, 22, berkata, kemalangan berlaku ketika pusingan terakhir.

“Saya hanya melihat kemalangan itu melalui video di tempat perlumbaan. Saya nampak dia jatuh dan bahu tersangkut pada pagar yang terbuka separuh yang menyebabkan dadanya terkena pagar. Motosikal dia juga terseret.

“Ketika kejadian, kesemua pelumba diminta untuk memberhentikan perlumbaan dan masuk ke kawasan perhentian.

“Saya menyifatkan arwah Hafiz sebagai rakan yang fokus dan peramah sepanjang dua tahun perkenalan kami.

“Sepanjang berkenalan dengan arwah, beliau tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu, selain sangat peramah dengan semua orang,” katanya.

Katanya, walaupun arwah tidak pernah menduduki tempat pertama, namun semangatnya yang tidak pernah berputus asa itu membuatkannya kagum selain sumbangannya dalam mengharumkan sukan permotoran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:42 PM
MOHD Hafiz Nor Azman. FOTO arkib NSTP
MOHD Hafiz Nor Azman. FOTO arkib NSTP