LANDAK yang diternak Abu Samah dan Samsul Bahrin di Kampung Dusat, Jempol.
ZAINAL Fikri (kanan) melihat landak yang diternak dua beradik.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Penternakan landak mampu menjana pulangan lumayan, tetapi ia membabitkan modal besar dan kesabaran tinggi kerana memerlukan masa sebelum memberikan hasil.

Dua beradik di Kampung Dusat, Abu Samah Mihat, 52, dan abangnya, Samsul Bahrin, 61, sanggup melabur hampir RM100,000 bagi memulakan ternakan haiwan esotik itu sejak setahun lalu menggunakan wang simpanan sendiri.

Samsul Bahrin berkata, walaupun menternak landak lambat mendatangkan hasil namun haiwan berkenaan mempunyai nilai harga yang tinggi di pasaran sehingga boleh mencecah RM150 sekilogram.

Menurutnya, selain perlu mendapatkan lesen menternak, membeli dan menjual daripada Jabatan Perlindungan dan Hidupan Taman Negara (PERHILITAN), menternak landak sebenarnya sangat mudah.

“Kita cuma perlu siapkan kandang yang bersesuaian bagi pasangan landak dan perlu diberi makanan berasaskan tumbuhan seperti buah atau sayur.

“Ia tahan lasak dan tahan penyakit serta boleh membesar sehingga 20 kilogram, cuma perlu tunggu sehingga berusia lapan bulan,” katanya ketika menerima lawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir.

Sementara itu, Abu Samah pula berkata, ketika ini hanya ada 10 landak diternaknya yang dibeli dengan harga RM25,000.

Menurutnya, disebabkan ia haiwan eksotik yang payah dicari, dagingnya sentiasa mendapat perhatian dan tidak hairan apabila ada yang sudah bertanya untuk membeli landak ternakannya.

“Kami perlu kembangkan lagi penternakan ini dan berharap kerajaan dapat membantu terutama memberi bantuan baka landak atau anak landak.

“Industri ini mampu memberi pulangan lumayan, malah landak mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan serta luar negara,” katanya.

Sementara itu, Zainal Fikri berkata, pihaknya menerusi kerajaan negeri akan cuba membantu dua beradik berkenaan mengembangkan lagi bidang penternakan landak diusahakan.

Menurutnya, penternakan landak sesuatu yang baru di sini, malah tidak ramai yang berani menceburinya disebabkan memerlukan modal yang besar.

“Mereka sudah memulakan penternakan itu dan yakin kerajaan boleh membantu untuk mengembangkan lagi bidang ternakan yang mereka ceburi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:05 AM