ROHANI menemani anaknya yang dimasukkan ke wad selepas menjalani pembedahan menyambung kepala kemaluannya.
Norizuan Shamsuddin


KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun bernasib malang apabila sebahagian kemaluannya yang mahu dikhatankan terpotong oleh peg awai perubatan yang menjalankan majlis berkhatan beramai-ramai di Shah Alam, Selangor, 8 Disember lalu.

Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak terbabit dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menjalani pembedahan bagi menyambung bahagian kepala kemaluannya yang terpotong.

Namun, sama ada usaha itu berjaya atau tidak hanya diketahui esok. Andai gagal, doktor melakukan pembedahan plastik bagi membetulkan atau mengantikan bahagian yang terpotong itu.

Ibu kanak-kanak terbabit, Rohani (bukan nama sebenar), 36, berkata, pegawai perubatan yang mengkhatankan anaknya tidak memaklumkan apa sebenarnya berlaku, tetapi memberitahu anaknya perlu dihantar ke HKL kerana menjalami pendarahan.

“Bagaimanapun, di HKL, doktor memaklumkan bahagian kepala alat sulit anak putus akibat ‘terlebih potong’ menyebabkan anak saya perlu menjalani pembedahan,” katanya.

Menurut Rohani, anaknya menyertai program majlis berkhatan beramai-ramai anjuran persatuan penduduk kawasan kediamannya dan disertai 50 kanak-kanak termasuk anak sulungnya.

Katanya, menerusi program itu, lapan pegawai perubatan ditugaskan melakukan proses berkhatan menggunakan kaedah solehring.

“Anak saya giliran ke-45 dan dia masuk ke bilik berkhatan jam 12.30 tengah hari.


INFOGRAFIK

“Bagaimanapun, sewaktu melakukan proses itu berlaku kejadian tidak diingini menyebabkan kecederaan pada alat sulit anak saya.

“Susulan itu, anak saya dihantar ke HKL dan menjalani pembedahan pada hari sama,” katanya, kelmarin.

Ibu empat anak itu berkata, keadaan anaknya kini stabil.

“Kami dimaklumkan perlu menunggu Selasa ini (esok) untuk mengetahui sama ada pembedahan penyambungan terbabit berjaya atau sebaliknya.

“Sekiranya gagal, anak mungkin perlu menjalani pembedahan plastik bagi menggantikan bahagian terpotong itu,” katanya.

Rohani berkata, kejadian itu menyebabkan emosi anak terganggu dan sukar tidur malam kerana sakit serta perlu bergantung kepada ubat tahan sakit.

“Anak beritahu saya dia menyesal berkhatan, seolah-olah tidak dapat terima hakikat.

“Perkara ini memberikan kesan mendalam apabila dewasa kelak.

“Kami juga bimbang pelajarannya terganggu disebabkan kejadian ini kerana dia menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan,” katanya.

Suri rumah itu berkata, susulan kejadian pihaknya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi hari sama.

Katanya, keluarganya sedia mengambil tindakan undang-undang jika ada berlaku kecuaian yang boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada anaknya.

“Tindakan itu mungkin tidak dapat mengembalikan keadaan kemaluan anak seperti sedia kala. Sekurang-kurangnya memberi pembelaan kepada anak, selain memberikan pengajaran kepada individu yang cuai.

“Kami juga mengeluarkan kos bagi pengangkutan berulang-alik ke HKL, selain suami perlu mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak sejak hari pertama di masukkan ke wad kerana saya perlu menjaga tiga lagi anak di rumah,” katanya.

Sementara itu, pihak HKL ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:56 AM